PUTRAJAYA: Seorang lelaki dewasa ditemukan lemas di tepi tasik berhampiran Istana Darul Ehsan, Presint 8, di sini hari ini.
Jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) WP Putrajaya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 11.42 pagi memaklumkan terdapat mangsa lemas di lokasi berkenaan.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, sebuah jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 digerakkan ke lokasi pada pukul 11.43 pagi tadi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, mangsa lelaki dewasa didapati terapung di tepi tasik berhampiran istana tersebut.
“Anggota bomba seterusnya menjalankan operasi mengangkat mangsa ke tebing menggunakan pengusung dengan bantuan bot daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah hari tadi.-UTUSAN











