Ada ‘benda’ bertenggek ganggu anak, saya kena singgah masjid – Safwan Nazri - Utusan Malaysia

Ada ‘benda’ bertenggek ganggu anak, saya kena singgah masjid – Safwan Nazri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon dan pengendali program audiosiar Sembang Seram, Safwan Nazri mengakui pernah beberapa kali berdepan kejadian misteri, khususnya selepas sesi rakaman bersama tetamu yang dirasakan mempunyai ‘aura’ menyeramkan.

Menurut Safwan atau Muhammad Safwan Muhammad Nazri, 31, beliau kini mengamalkan rutin wajib singgah di masjid sekurang-kurangnya sejam sebelum pulang ke rumah sekiranya berasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Kalau sesi podcast dengan tetamu yang menyeramkan dan saya terus pulang tanpa singgah masjid, memang akan berlaku gangguan yang tak masuk akal. Contohnya telefon tiba-tiba berbunyi sendiri atau anak-anak mula menangis tanpa sebab.

“Paling teruk, anak saya menangis berterusan dari waktu Maghrib sampai lewat malam selama empat hari. Mereka mendakwa nampak ‘monster’. Apabila saya bawa berjumpa ustaz, dimaklumkan memang ada ‘benda’ yang bertenggek dan ikut balik dari tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Auditorium MBSA, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Safwan tidak menafikan situasi tersebut menimbulkan kebimbangan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan emosi dan keselamatan anak-anaknya. Namun, beliau tetap nekad meneruskan program berkenaan kerana ia menjadi sumber rezeki kepada ramai pihak.

“Saya teruskan sebab sokongan pelanggan dan peminat. Paling penting, ini punca rezeki. Ramai kru dan rakan-rakan berkongsi rezeki di bawah ‘pohon’ yang sama. Kalau saya berhenti, bagaimana dengan mereka?” ujarnya.

Dalam pada itu, meskipun sering dikaitkan dengan kandungan seram, Safwan secara terbuka mengakui dirinya seorang yang penakut dan sentiasa meletakkan batasan jelas dalam kerjaya.

“Saya tahu had saya. Saya tidak akan buat podcast paranormal di luar studio atau pergi ke tempat keras. Saya memang penakut dan tidak mahu mencabar perkara alam lain. Malah, kalau tetamu bawa barang pelik sekalipun, saya tidak akan sentuh. Kita kena sentiasa berhati-hati,” tegasnya.

Terdahulu, Safwan berjaya membawa pulang trofi kategori Program Digital Tergempak pada majlis Anugerah Gempak Most Wanted 2025.

“Tahun sebelum ini saya tewas, jadi kali ini kami buat kempen bersungguh-sungguh. Memang teringin naik ke pentas menerima anugerah. Walaupun semua calon Top 10 hebat, alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN