AS, Iran adakan rundingan di Geneva - Utusan Malaysia

AS, Iran adakan rundingan di Geneva

STEVE WITKOFF (kiri) dijangka menemui Abbas Araghchi di Geneva. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka mengadakan pusingan kedua rundingan nuklear di Geneva, Switzerland esok, lapor agensi berita Anadolu yang memetik pegawai dan sumber AS di tengah-tengah ketegangan ketenteraan yang semakin meningkat di Teluk.

Menurut laporan laman web AS, Axios, rundingan tersebut bertujuan untuk mencapai persetujuan bagi mengelakkan fasa peningkatan konflik. 

Delegasi AS dijangka disertai oleh menantu dan penasihat tidak rasmi Presiden AS, Donald Trump, Jared Kushner dan Utusan Khas Rumah Putih, Steve Witkoff, manakala delegasi Iran akan diketuai oleh Menteri Luarnya, Abbas Araghchi.

Menteri Luar Oman, Badr al-Busaidi, yang bertindak sebagai orang tengah antara Washington dan Teheran, juga dijadualkan menyertai rundingan tersebut.

Sementara itu, seorang pegawai AS mendedahkan bahawa Witkoff telah menyampaikan pesanan kepada Teheran melalui Oman awal minggu ini.

Menurut stesen televisyen kerajaan Iran, Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran. Ali Larijani  mengesahkan beliau telah menerima dokumen yang mengandungi cadangan AS selepas bertemu dengan pegawai-pegawai Oman.

Trump telah memberi isyarat terbuka terhadap diplomasi, namun dalam masa yang sama terus mengekalkan tekanan melalui pengukuhan aset ketenteraan yang besar di rantau tersebut.

“Sama ada kita akan mencapai satu perjanjian atau kita terpaksa melakukan sesuatu yang sangat keras,” kata Trump, merujuk kepada serangan udara AS terhadap Iran pada Jun tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita pada Jumaat lalu, beliau menegaskan bahawa sebarang perjanjian perlu mensyaratkan sifar pengayaan uranium di Iran, sambil menambah bahawa Teheran masih belum menunjukkan tindakan bermakna dalam program nuklearnya.

Apabila ditanya mengenai pertukaran rejim, Trump menjawab bahawa perkara tersebut adalah perkara terbaik yang boleh berlaku. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN