Aan Ways tabah melawan kanser - Utusan Malaysia

Aan Ways tabah melawan kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESAR ujian dihadapi penyanyi, Besran Zulkifly, 66, yang diuji penyakit kanser usus tahap dua. Besran yang lebih dikenali sebagai Aan Ways, selesai menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) Disember lepas, mengumpul semangat dan kekuatan untuk menjalani rawatan kemoterapi selama beberapa bulan sebagai alternatif penyembuhan.

Aan yang dihubungi saya baru-baru ini mengakui menyimpan sedikit gusar dan khuatir dengan kemungkinan hilang punca pendapatan disebabkan keadaan kesihatannya.

“Apabila diuji sakit ini terasa seperti masa depan menjadi gelap. Iyalah, setakat ini saya mencari pendapatan dengan aktiviti nyanyian semata-mata.

“Ketika sebulan berada di hospital selepas pembedahan, saya akui mengalami sedikit tekanan kerana risaukan kemungkinan hilang punca pendapatan disebabkan keadaan kesihatan saya.

“Tapi saya tahu yang saya tidak boleh mengalah. Mahu atau tidak, saya harus kuat dan gagahkan diri untuk buat latihan menyanyi sebagai persediaan untuk memenuhi jemputan membuat persembahan. Saya tidak boleh layankan kesakitan yang ditanggung.

“Tapi apa pun saya bersyukur kerana Allah menurunkan pertolongan-Nya dengan menghadirkan rakan-rakan artis yang banyak memberi sokongan dan menghulurkan bantuan,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman berdepan penyakit kanser, Aan memaklumkan cukup terkejut apabila diberitahu dirinya menghidap kanser sementelah tidak pernah mengalami sebarang petanda.

“Pada usia 66 tahun, saya aktif bermain bola sepak dan masih menerima undangan membuat persembahan. Sehinggalah pada 27 Disember lalu, selepas selesai membuat persembahan di Setia Alam, tiba-tiba saya mengalami sakit perut. Pada keesokan harinya, perut saya bengkak.

“Saya sekadar berehat di rumah. Disebabkan takut, saya menolak apabila dinasihatkan ke hospital. Saya hanya berjumpa doktor selepas dua hari menahan sakit. Keputusan pengimejan resonans magnetik (MRI) menunjukkan yang saya mengalami kanser usus tahap dua.

“Saya bertanya kepada doktor, adakah boleh sekiranya saya memilih untuk tidak melakukan pembedahan. Katanya, dikhuatiri sel kanser pecah dan kemudian merebak. Keadaan itu berbahaya. Akhirnya saya bersetuju melakukan pembedahan pada 2 Januari lalu,” kongsinya lagi.

Berkongsi lanjut, Aan memaklumkan perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali sebagai rawatan susulan pembedahan.

“Pada 5 Februari lepas saya memulakan kemoterapi di HKL.Saya lega kerana hanya perlu menjalani rawatan secara pengambilan ubat (kemoterapi). Saya sebolehnya mahu elakkan daripada kemoterapi kerana usia sudah lanjut. Keupayaan pun sudah tidak seperti dulu. Tapi saya akur demi kesembuhan,” ujarnya.

WARKAH UNTUK KEKASIH

Sepanjang perbualan, Aan turut berkongsi cerita mengenai perjalanan kerjaya nyanyiannya termasuk fasa-fasa awal pembabitan dalam dunia seni.

Penyanyi kelahiran Pahang ini berhijrah ke Kuala Lumpur pada usia 20 tahun selepas diterima menyertai Pentarama kelolaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1982.

“Saya tidak masuk ke dalam dunia seni dengan sebagai penyanyi, sebaliknya sebagai penari dan pelakon. Antara yang menyertai Pentarama ketika itu adalah Shidee, Salih Yaacob, Noorshila Amin dan ramai lagi,” kongsinya.

Aan menyertai kumpulan Way’s selaku vokalis bermula 1993. Beliau mengimbau momen pertama masuk studio rakaman untuk merakamkan lagu Warkah Untuk Kekasih ciptaan Shaari Amri dan S. Amin Sahab.

“Bayangkan sesi rakaman lagu itu yang bermula pukul 10 malam berakhir pukul 5.30 pagi keesokan hari.

“Memang agak mencabar kerana waktu itu saya tidak mempunyai pengalaman merakamkan lagu. Vokal saya ketika itu dibimbing komposer Lan Laga yang sememangnya cukup teliti dalam melaksanakan tugasnya.

“Tapi Lan Laga ini sikapnya cukup menyenangkan dan orangnya juga santai. Walaupun rakaman berlangsung lebih tujuh jam, saya tidak rasa tertekan malah seronok bekerja dengan beliau,” katanya.
Aan meluahkan rasa syukur kerana berpeluang merakamkan lagu ‘berhantu’ itu yang sampai hari ini menjadi antara lagu yang dipersembahkan atas permintaan peminat.

“Peminat sampai sekarang meminta saya menyanyikan lagu itu. Saya anggap ia satu rezeki kerana lagu itulah yang membuka banyak peluang untuk saya,” kongsinya lagi.

KISAH TIGA LAGU

Selain Warkah Untuk Kekasih, tiga lagu dinyanyikan Aan, Keranamu Suhaila, Abang Zaidi dan Apa Khabar Su turut menjadi antara lagu diminati ramai.

Menurut Aan, di sebalik tiga lagu itu tersirat kisah kehidupan komposernya, Nan Dengkil yang tidak diceritakan kepada umum.

“Lagu Keranamu Suhaila berkisar tentang kisah percintaan Nan Dengkil dengan Suhaila yang berkahwin secara senyap di sempadan Thailand. Namun, hubungan mereka tidak direstui orang tua Suhaila yang kemudian dikurung ibu bapanya sebaik sahaja dia memaklumkan mengenai perkahwinannya dengan Nan Dengkil. Sejak itu Nan Dengkil tidak bertemu Suhaila dan perkahwinan mereka terputus di tengah jalan.

“Lagu Abang Zaidi pula berkisar tentang abang kandung Suhaila yang merupakan imam. Zaidi antara orang yang juga tidak merestui hubungan adiknya dengan Nan Dengkil.

“Lagu Apa Khabar Su pula tentang kerinduan Nan terhadap Suhaila selepas lama mereka tidak berjumpa. Ketiga-tiga lagu ini menyimpan kisah sedih yang diceritakan sendiri penulisnya,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN