Festival layang-layang Pakistan kembali selepas 19 tahun

Festival layang-layang Pakistan kembali selepas 19 tahun

MENTERI Maklumat Punjab, Azma Bukhari menyertai festival layang-layang Basant di Lahore. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI jalan-jalan Lahore, Pakistan suasana meriah dirasai pengunjung festival layang-layang Basant yang kembali ke bandar itu selepas hampir dua dekad diharamkan.

Apabila matahari mulai terbenam, setiap bumbung dihuni keluarga dan rakan tertawa, menjerit, sambil menonton layang-layang melingkar dan terbang tinggi di langit Lahore.

“Ini sangat mencabar. Semua generasi kami di sini sangat teruja. Orang tua tahu cara bermain layang-layang, tetapi kami Gen-Z tidak tahu!” kata seorang jurutera teknologi, Abu Bakar Ahmad, 25, yang dilatih sepupunya untuk mengawal layang-layang.

Festival itu menandakan permulaan musim bunga dan wujud berabad-abad lamanya, tetapi diharamkan pada 2007 selepas beberapa tahun berlaku kecederaan dan kematian akibat tali layang-layang yang tajam, insiden pemain terjatuh dari bumbung dan tembakan udara semasa perayaan.

“Ia tentang berkumpul, tentang kasih sayang. Ia bukan sekadar menerbangkan layang-layang, tetapi adalah festival istimewa untuk mengeratkan hubungan. Saya suka menonton sambil makan makanan sedap,” kata seorang penduduk, Kanwal Amin, 48.

Seorang ahli farmasi, Kashif Siddiqui mengakui kemahirannya sudah sedikit ‘berkarat’.

Dia menunjukkan gambar festival Basant terakhir yang dihadirinya ketika anaknya berumur tiga tahun. Namun kini anaknya itu hadir bersama cucu-cucunya.

“Festival ini istimewa untuk rakyat Lahore, ia mengalir dalam darah kami. Bukan sekadar layang-layang dan tali, tetapi tradisi. Ayah saya dan datuknya dahulu juga melakukannya,” katanya.

Ibu saudara Kashif, Mina Sikander, 60, sanggup terbang dari Miami untuk tidak melepaskan peluang menyertai festival itu.

“Saya sangat sukakan festival ini. Perjalanan ini berbaloi!” katanya.

Layang-layang yang diterbangkan bukan hanya untuk tontonan, tetapi juga sebagai pertarungan untuk memotong tali lawan.

Peserta mencipta tali yang lebih tajam dan kuat, ada yang dilapisi serbuk kaca atau dibuat daripada logam dan bahan kimia.

Setiap festival sebelum ini mengakibatkan kematian, termasuk kanak-kanak. Ia amat berbahaya untuk penunggang motosikal yang mungkin tersangkut atau tersadung talinya ketika di jalan raya.

Bagi memastikan festival kali ini lebih selamat, penganjuran Basant dihadkan kepada tiga hari sahaja dari 6 hingga 8 Februari lalu.

Penunggang motosikal diberikan rod logam di antara pemegang untuk mengelak tali tersangkut di leher. Layang-layang bersaiz besar diharamkan kerana memerlukan tali lebih kuat dan risiko lebih tinggi.

Jaring juga dipasang di beberapa jalan, kerana sebelum ini tali logam jatuh ke kabel elektrik, menyebabkan renjatan elektrik dan litar pintas.

Untuk mengelak penduduk menerbangkan layang-layang sebelum festival bermula, semua layang-layang dijual sebelum 1 Februari dan tali berbahaya turut dirampas.

Timbalan Inspektor Jeneral Polis Lahore, Faisal Kamran berkata, lebih 100,000 layang-layang dan 2,100 gulung tali yang berbahaya dirampas pasukannya.

Pegawainya turut memantau bumbung dan langit menggunakan dron, melakukan pengawasan secara langsung selain penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan keadaan selamat.

Salah seorang penjual layang-layang, Usman berkata, dia berjaya menjual lebih 7,000 layang-layang hanya dalam masa beberapa hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×