PETALING JAYA: Seramai 61 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 berjaya memperoleh keputusan Mumtaz dalam semua mata pelajaran.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, keputusan STAM 2025 juga menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) sebanyak 2.81 mata bagi kurikulum hasil kerjasama dengan Al-Azhar Al-Sharif manakala bagi calon sekolah KPM, GPK 2.63 mata direkodkan.
Katanya, secara keseluruhan, seramai 2,816 calon telah berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan STAM.
“Calon telah menunjukkan keupayaan untuk menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama, iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya’ dan Mutalaah.
“Pencapaian peperiksaan STAM Tahun 2025 adalah signifikan kerana melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) menengah atas dan kurikulum tingkatan enam dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun,” katanya.
Menurutnya, seramai 4,382 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM 2025 di 135 pusat peperiksaan seluruh negara.
“Peratus kehadiran calon secara keseluruhan adalah sebanyak 98.7 peratus, dengan calon
di bawah KPM merekodkan peratus kehadiran yang tinggi sebanyak 99.1 peratus.
“KPM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, 852 petugas peperiksaan dan 468 pemeriksa yang memastikan kelancaran pengurusan STAM 2025,” katanya.- UTUSAN










