KUALA TERENGGANU: Sebanyak 54 bazar Ramadan disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Terengganu tahun ini bagi memberi peluang kepada 4,355 peniaga menjana pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penyediaan tapak bazar itu mencerminkan skala besar aktiviti ekonomi Ramadan yang melibatkan ribuan peniaga kecil dan sederhana.
Kataya, daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 12 lokasi disediakan di Kuala Terengganu diikuti lima lokasi di Kuala Nerus serta enam lokasi di Kemaman dan Dungun.
“Lapan lokasi bazar Ramadan turut disediakan di Besut, empat di Hulu Terengganu, tujuh di Marang dan enam lokasi di Setiu.
“Semua peniaga bazar Ramadan diingatkan supaya memulakan operasi perniagaan bermula pukul 3 petang hingga waktu azan maghrib seperti ditetapkan PBT,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Sukairi berkata, ketetapan masa beroperasi serta syarat lain termasuk aspek kebersihan terutama ketika penyediaan makanan telah dimaklumkan awal kepada semua peniaga.
“Pegawai penguat kuasa PBT akan menjalankan pemantauan dan tindakan termasuk mengenakan kompaun sekiranya peniaga gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Katanya, sebahagian tapak bazar Ramadan turut dikendalikan oleh pihak swasta yang memperoleh tender.
“Peniaga juga diminta memberi perhatian serius terhadap aspek kebersihan kerana PBT tidak bertanggungjawab sekiranya tindakan diambil oleh agensi penguat kuasa lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM).
Wan Sukairi berkata, sebanyak 12 lokasi bazar Aidilfitri disediakan tahun ini.
Katanya, operasi hanya dibenarkan sehingga pukul 7 petang sehari sebelum Aidilfitri dan tiada sebarang urus niaga dibenarkan pada malam Aidilfitri bagi kerja-kerja pembersihan. – UTUSAN










