48 jam penentu undi belia

48 jam penentu undi belia

MOHAMMED Taufiq Johari pada Majlis Berbuka Puasa, Dialog dan Moreh MPN PKR Kedah di Zaques Hotel, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Landskap politik negara yang semakin dinamik dan tanpa dominasi satu parti tunggal didorong keberanian golongan muda membuat pilihan sendiri tanpa terlalu terikat kepada sentimen parti.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, gelombang sokongan belia boleh berubah dengan pantas sekiranya timbul isu yang tidak ditangani dengan baik menjelang hari pengundian.

Menurut beliau, tempoh 48 jam sebelum mengundi merupakan fasa kritikal yang berpotensi mengubah sokongan pengundi muda dan memberi cabaran besar kepada setiap parti bertanding.

“Pengundi muda sangat dinamik. Jika sesuatu isu gagal diurus dengan baik dalam tempoh 48 jam sebelum mengundi, ia boleh mencetuskan gelombang perubahan undi.

“Sebab itu penting untuk memastikan golongan ini memahami proses demokrasi dan kenegaraan supaya mereka memilih berdasarkan prestasi serta kredibiliti pemimpin, bukan semata-mata parti,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa, Dialog dan Moreh MPN Kedah di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, daripada kira-kira sembilan juta belia di Malaysia, hanya sekitar satu juta aktif dalam persatuan atau berstruktur, manakala selebihnya sukar didekati.

“Terdapat belia yang bekerja sebagai nelayan, penoreh getah, petani dan pekerja sektor tidak formal yang jarang disentuh dasar secara langsung. Golongan inilah yang kita mahu dekati,” katanya.

Menurut beliau, kementerian memperkenalkan semula modul ‘Kuasa Orang Muda’ di bawah Impact Malaysia bagi meningkatkan kefahaman belia mengenai proses demokrasi dan sistem kenegaraan.

Tambahnya, pelaksanaan Undi18 memerlukan sokongan pendidikan sivik lebih menyeluruh agar belia memahami peranan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta sistem demokrasi negara.

“Pemimpin silih berganti, namun sistem demokrasi akan terus kekal. Anak-anak muda perlu diberi kefahaman tentang sistem, bukan disogok dengan emosi politik sepanjang masa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×