333.82 hektar sawah musnah akibat banjir Perlis

333.82 hektar sawah musnah akibat banjir Perlis

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 333.82 hektar sawah padi di Perlis musnah akibat banjir yang melanda negeri itu pada hujung tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu melibatkan 265 pesawah dengan tanaman yang terjejas merupakan padi berusia kira-kira 70 hari.

Katanya, kerajaan bercadang menyalurkan bantuan kepada pesawah terlibat di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi, namun perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk yang dijadual berlangsung pada 6 Mac ini.

“Secara keseluruhannya, yang terkesan dengan bencana banjir pada 2025 adalah seramai 265 orang dengan keluasan musnah yang telah disahkan 333.82 hektar. Cadangan nilai bantuan kepada pesawah adalah RM292,426.

“Memang kita nak bagi bantuan. Tentang kemusnahan, soal kalau berlaku kelewatan, itu soal pengesahan. Ini sedang dijalankan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai tindakan proaktif Kementerian dalam membantu petani selain jaminan akan diberikan bantuan.

Tambahnya, bagi kerosakan tanaman padi akibat kemarau di negeri sama pada Februari lalu, dianggarkan kira-kira 300 hektar kawasan sawah turut terjejas.

Katanya, bagaimanapun, siasatan serta penilaian di lapangan sedang dilaksanakan Jabatan Pertanian Negeri sebelum data lengkap dikemukakan kepada jawatankuasa teknikal bagi pertimbangan bantuan selanjutnya.

“Bagi kejadian bencana yang berlaku pada akhir November 2025 hingga Disember 2025, permohonan pertimbangan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk.

“Insya-Allah lepas itu para petani yang terkena bencana akan mendapat imbuhan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN