KUALA NERUS: Seramai 2,733 penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) aktif menjalankan perniagaan sepanjang tahun lalu sekali gus menyokong usaha melahirkan graduan berdaya saing dan berupaya menjana peluang pekerjaan sendiri.
Pelaksanaan Pelan Tindakan Keusahawanan (PTK) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara berfokus dan berstruktur membolehkan UniSZA mencapai 100 peratus pencapaian tujuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, melibatkan penglibatan pelajar dalam aktiviti perniagaan, inovasi serta kerjasama strategik bersama pihak industri.
Pengarah Pusat Kerjaya, Teknousahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT) UniSZA, Prof. Madya Dr. Fazida Karim berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan ekosistem keusahawanan universiti yang dibangunkan secara menyeluruh merangkumi aspek pembangunan bakat, sokongan pembiayaan dan pendedahan kepada pasaran sebenar.
“Sepanjang tahun lalu, UniSZA bukan sahaja menumpukan kepada pendedahan awal keusahawanan dalam kalangan pelajar, malah memberi penekanan kepada kesinambungan perniagaan selepas tamat pengajian,” katanya pada sesi lawatan penilaian akhir sempena Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT) Tahun 2025 bagi Kategori Institusi Terbaik (Universiti).
Sesi lawatan lalu merangkumi penilaian menyeluruh terhadap ekosistem keusahawanan UniSZA yang melibatkan Kampus Besut, Setiu Wetlands, Merang dan Kampus Gong Badak.
Menurut Farida, antara inisiatif berimpak tinggi adalah penganjuran Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 3.0 yang menarik 742 peserta melibatkan institusi pengajian tinggi dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei, sekali gus memperkukuh jaringan keusahawanan serantau.
Beliau berkata, impak pelaksanaan PTK di UniSZA turut dibuktikan melalui data kesinambungan keusahawanan graduan apabila 279 orang dikenal pasti meneruskan penglibatan aktif dalam perniagaan selepas menamatkan pengajian yang menyumbang kepada agenda kebolehpasaran graduan dan pembangunan ekonomi.
Katanya, sepanjang tahun sama, PaKaT memperoleh dana keusahawanan melebihi RM500,000 bagi menyokong pembangunan dan pengukuhan ekosistem keusahawanan pelajar serta alumni UniSZA.
“Sokongan dana ini membolehkan UniSZA membangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih mampan dan berimpak tinggi selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara,” katanya. – UTUSAN










