21 Orang Asli ditahan, polis siasat jika wujud unsur hasutan 

21 Orang Asli ditahan ceroboh tanah, polis siasat jika wujud unsur hasutan 

YAHAYA OTHMAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis tidak menolak kemungkinan wujud pihak tertentu yang bertindak menghasut sekumpulan Orang Asli sehingga terlibat dalam pencerobohan ladang kelapa sawit di Kampung Jemeri, Rompin, dekat sini semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk kemungkinan terdapat unsur dorongan pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan.

Katanya, seramai 21 individu Orang Asli terdiri daripada 17 wanita dan empat lelaki berusia antara 25 tahun hingga 60 tahun ditahan selepas didapati memasuki kawasan ladang berkenaan yang mempunyai pemilik sah serta dibuat pengukuran dan dipagar.

“Polis menerima aduan bahawa pagar ladang dirosakkan sebelum kumpulan ini memasuki kawasan berkenaan. Tanah itu adalah tanah milik yang mempunyai geran sah dan pemiliknya juga membuat laporan sebelum ini berkaitan kejadian sama,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Kita masih dalam tempoh siasatan. Jika siasatan dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, mereka mungkin dibebaskan dengan jaminan. Namun, jika siasatan belum lengkap, polis memohon perintah tahanan reman,” katanya.

Katanya, polis memandang serius penglibatan ramai wanita dalam kejadian tersebut dan percaya mereka mungkin dipengaruhi oleh pihak tertentu.

“Saya yakin sekiranya tiada unsur hasutan, kejadian ini tidak akan berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN