KEPALA BATAS : Sekurang-kurangnya 21 penghuni hilang tempat tinggal selepas empat buah rumah yang mereka diami musnah dalam satu kebakaran di Permatang Kerai Besar di sini, awal pagi tadi.
Selain kediaman, kebakaran yang berlaku sewaktu rata-rata penghuni sedang bersiap-siap untuk bersahur itu turut memusnahkan beberapa buah kenderaan milik penduduk termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah pacuan empat roda serta lima buah motosikal.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan mengenai tragedi itu kira-kira pukul 5.06 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas, operasi memadam kebakaran itu turut melibatkan pasukan BBP dari Butterworth, Tasek Gelugor dan Sungai Bakap serta beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.
“Keempat-empat buah rumah yang terbakar itu dikategorikan sebagai kelas B dan dianggarkan mengalami kemusnahan sehingga 80 peratus manakala kesemua kenderaan yang terbakar pula musnah sehingga 90 peratus.
“Kerja-kerja pemadaman api agak mencabar pada mulanya kerana api merebak dengan cepat ke rumah-rumah bersebelahan disebabkan jarak yang dekat.
“Namun, kebakaran itu akhirnya berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 6.56 pagi. Kesemua mangsa selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, seorang saksi, Amira Abdul Karim memberitahu, ketika kejadian, suaminya sedang sibuk menggoreng telur sebagai juadah untuk bersahur sebelum ibu saudaranya yang tinggal berdekatan menyuruh mereka menutup segala suis elektrik kerana ada kebakaran tidak jauh dari situ.
“Masa itu saya agak risau kerana lampu di rumah sudah mula berkelip-kelip dan saya juga ada terdengar bunyi letupan dari arah rumah yang terbakar.
“Nak pergi ke lokasi masa itu pun memang takut kerana api marak terlalu cepat. Alhamdulillah, semuanya selamat,” katanya ketika dihubungi di sini.-UTUSAN










