KUALA LUMPUR: Perubahan format kepada sistem 15 mata yang sedang dipertimbangkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berisiko menguntungkan pemain Eropah dan China.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto menyifatkan tempoh perlawanan yang lebih singkat akan meningkatkan intensiti permainan, sekali gus menuntut perubahan taktikal.
Menurutnya, pemain tidak lagi mempunyai masa untuk bangkit selepas ketinggalan kerana setiap mata dalam format tersebut menjadi lebih kritikal.
“Secara peribadi saya rasa 15 mata ini agak pendek walaupun masih menggunakan format tiga set dan itu menjadikan permainan sangat laju.
“Kalau ia sudah diputuskan, kita tiada pilihan selain menyesuaikan diri dalam latihan kerana yang paling penting adalah fokus serta permulaan yang baik,” kata Nova.
Nova turut memberi pandangan pemain China dan Eropah mungkin lebih cepat menyesuaikan diri memandangkan struktur latihan serta identiti permainan mereka yang lebih agresif.
Beliau menjelaskan China memiliki ramai pemain yang pantas, manakala wakil Eropah pula sering menampilkan pendekatan sistematik yang sesuai dengan tempo permainan singkat.
“China memang ada ramai pemain muda yang laju dan agresif, manakala pemain Eropah mungkin lebih untung dengan format pendek ini, tetapi untuk pemain seperti Chen Tang Jie dan Hoo Pang Ron, saya percaya mereka juga boleh menyesuaikan diri kerana mempunyai gaya menyerang,” ujarnya.
Kelmarin, BWF mengumumkan cadangan sistem 15 mata akan dibentangkan untuk undian pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan itu di Denmark pada 25 April 2026 sebagai usaha menggantikan sistem 21 mata sedia ada. – UTUSAN










