PUTRAJAYA: Malaysia dan India hari ini memeterai sebanyak 11 dokumen kerjasama, merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk keselamatan, pertahanan, ekonomi digital, semikonduktor dan sektor kesihatan.
Ini termasuk kerjasama dalam bidang pendidikan vokasional serta hubungan rakyat-ke-rakyat, sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia.
Pemeteraian dokumen-dokumen berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh perkongsian strategik komprehensif yang telah dipersetujui pada 2024, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-India.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Modi menyaksikan pertukaran MoU dan lain-lain dokumen itu sebelum mengadakan sidang akhbar bersama di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Antara dokumen utama yang ditandatangani ialah memorandum persefahaman (MoU) mengenai penerbitan bersama audio-visual, yang dijangka memperkukuh hubungan dalam industri kreatif termasuk perfileman dan kandungan media.
Dalam aspek keselamatan dan tadbir urus, kedua-dua negara memeterai MoU kerjasama dalam pengurusan bencana, MoU membanteras dan mencegah rasuah, selain pertukaran Surat (EoL) berkaitan kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malaysia dan India turut memperluas kerjasama dalam sektor teknologi tinggi menerusi pertukaran nota (EoN) mengenai kerjasama dalam bidang semikonduktor, serta Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA) yang menekankan pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar.
Dalam bidang sosial dan pembangunan modal insan, kedua-dua negara memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) antara Employees’ State Insurance Corporation (ESIC), India dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Malaysia, selain EoN kerjasama pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kerjasama dalam sektor kesihatan turut diperkukuh melalui EoN kerjasama keselamatan serta EoN kerjasama penjagaan kesihatan antara Malaysia dan India, sejajar dengan usaha meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan kedua-dua negara.
Sebagai pe]]ngukuhan hubungan ekonomi, kenyataan bersama Forum CEO Malaysia–India ke-10 turut diserahkan kepada kedua-dua pemimpin, yang merangkumi cadangan strategik bagi meningkatkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama sektor swasta.
Pemeteraian keseluruhan dokumen ini menzahirkan kesungguhan Malaysia dan India untuk memperluas kerjasama merentasi bidang tradisional dan baharu, sekali gus memperkukuh kestabilan serantau serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara. – UTUSAN










