PETALING JAYA: Penahanan peguam dan aktivis yang terlibat Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram tidak mengikut proses undang-undang memandangkan hak berhimpun secara aman dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, pihak polis didakwa gagal menjelaskan sebab penahanan kepada individu terbabit.
“Penahanan terhadap peguam dan aktivis yang melaksanakan hak mereka secara sah merupakan satu bentuk pencabulan terhadap prinsip demokrasi, kebebasan sivil serta kedaulatan undang-undang.
“Tindakan penangkapan dan penahanan oleh pihak polis ini jelas menimbulkan kebimbangan serius terhadap budaya demokrasi dan memberi kesan buruk kepada imej negara di peringkat antarabangsa kerana ia bertentangan dengan norma serta prinsip asas Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Muhamad Hisham berkata, pihaknya menuntut supaya semua individu yang ditahan dibebaskan segera tanpa sebarang syarat.
Katanya, PPMM menggesa pihak polis agar menghormati hak asasi rakyat serta mengamalkan pendekatan yang selaras dengan prinsip keadilan, hak asasi manusia dan piawaian antarabangsa.
“Kami menggesa kerajaan memastikan institusi penguatkuasaan tidak digunakan sebagai alat untuk menekan suara rakyat yang sah.
“PPMM juga menuntut tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menyalahtafsir serta mengelirukan orang awam dengan membangkitkan isu perkauman, agama dan kepentingan politik,” katanya. – UTUSAN










