11 bahagian Bersatu Johor bakal terbubar masa terdekat

11 bahagian Bersatu Johor bakal terbubar masa terdekat

ISA Abd. Hamid (depan bersongkok) mengadakan sidang akhbar mewakili 11 Bahagian Bersatu Johor meletakkan jawatan peringkat bahagian masing-masing serta merta selepas hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Sebanyak 11 Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor dijangka akan terbubar selepas majoriti ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan secara besar-besaran.

Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab. Hamid berkata, keputusan itu yang dibuat sebulat suara tanpa pengaruh mana-mana pihak susulan kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, tindakan itu juga disebabkan kegagalan kepemimpinan Bersatu memberi maklum balas terhadap sidang akhbar yang diadakan pihaknya pada 27 Januari lalu.

“Selepas tiga minggu kami menunggu respon kepemimpinan terhadap desakan kami, ahli jawatankuasa melebihi separuh di 11 bahagian sepakat meletakkan jawatan masing-masing sekaligus menyebabkan bahagian ini akan terbubar.

“Kami terpaksa buat keputusan bermaruah ini demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Jika kami mahukan kerusi dalam pilihan raya boleh sahaja kami duduk diam dan kekal dalam parti, tetapi bukan itu yang kami lakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dua bahagian Bersatu negeri ini telah menghantar surat rasmi berhubung perkara itu adalah Labis dan Mersing, manakala sembilan lain iaitu Johor Bahru, Pulai, Pontian, Simpang Renggam, Pengerang, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Sembrong berbuat demikian dalam masa terdekat.

Isa berkata, tindakan tersebut dibuat kerana pihaknya merasakan hala tuju perjuangan parti telah terjejas sehingga menyebabkan ahli dan penyokong di peringkat akar umbi tidak lagi mempercayai Bersatu untuk mewakili mereka dalam pilihan raya.

“Cogan kata Bersatu, Beramanah dan Bermaruah kini hanya retorik semata-mata dengan tindakan ugut-mengugut, menindas serta memecat ahli yang tidak bersefahaman dengan presiden dan kumpulannya,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, Isa mengadakan sidang akhbar mewakili 14 Bahagian Bersatu Johor mendesak agar Muhyiddin menggantikan kedudukan Datuk Dr. Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi Bersatu Johor dengan mana-mana 26 Ketua Bahagian Bersatu di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN