PETALING JAYA: Yayasan PEKEMA terus komited menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi Program Kasih Ramadan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah menjelang Ramadan Al-Mubarak.
Menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, seramai 1,000 keluarga B40 menerima manfaat dalam bentuk agihan bakul makanan, sekali gus menyuntik semangat dan keyakinan kepada ibu bapa untuk membuat persiapan menyambut Ramadan.
Naib Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), YM Raja Petra Marudin Raja Nordin berkata, program berkenaan bukan dianjurkan semata-mata bersempena kedatangan Ramadan, sebaliknya menjadi platform memperkukuh budaya kebajikan dalam kalangan warga industri automotif Bumiputera.
“Program ini dirancang bersempena kedatangan Ramadan Al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan, keinsafan dan rahmat. Ia bukan sekadar bulan untuk kita berpuasa, tetapi juga bulan untuk memperbanyakkan amalan kebajikan dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Program tersebut dianjurkan bersama Yayasan PEKEMA dengan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer serta Jawatankuasa Penduduk Zon 10 MPS, sebagai manifestasi keprihatinan berterusan PEKEMA terhadap kebajikan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Majlis penyerahan sumbangan rasmi disempurnakan dengan kehadiran Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer, bersama barisan kepimpinan PEKEMA, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta para penerima manfaat.
Bagi pelaksanaan program di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), seramai 1,000 keluarga berpendapatan rendah dari sekitar Selayang dipilih sebagai penerima manfaat menerusi program yang berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang.
Mengulas lanjut, Raja Petra Marudin berkata, peningkatan kos sara hidup memberi kesan besar khususnya kepada golongan B40, asnaf, warga emas serta keluarga berpendapatan rendah di sekitar Selayang, justeru sumbangan itu diharap dapat meringankan perbelanjaan harian serta menceriakan persiapan menyambut Ramadan.
Katanya, sebagai organisasi yang mewakili pemain industri automotif Bumiputera, PEKEMA bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan, malah menitikberatkan aspek kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.
“Saya berharap bantuan yang disalurkan hari ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi material, malah menjadi simbol sokongan moral bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran kehidupan. Semoga Ramadan kali ini membawa keberkatan, ketenangan dan rezeki yang melimpah ruah kepada kita semua,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Zon 10 MPS, Ahmad Zahiri Zahid Sofian berkata, kolaborasi antara Yayasan PEKEMA dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Majlis Zon 10 membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberi keutamaan.
Program Kasih Ramadan itu turut mendapat sokongan padu ahli-ahli PEKEMA, sukarelawan serta rakan strategik, sekali gus membuktikan semangat kerjasama dan solidariti dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan. Yayasan PEKEMA komited untuk meneruskan pelaksanaan program kebajikan seumpama ini pada masa hadapan sebagai usaha berterusan memperkasa komuniti dan memperkukuh jaringan sokongan sosial.-UTUSAN










