Tiada individu sempurna, Fahmi harap Rafizi bermuhasabah

Tiada individu sempurna termasuk Perdana Menteri, Azam, Rafizi – Fahmi

FAHMI Fadzil ketika berucap di Majlis Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2026 di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, di sini hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Masyarakat perlu akur tiada individu sempurna di dunia ini, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil sehubungan itu menyeru semua pihak untuk bermuhasabah khususnya tentang diri masing-masing sempena kedatangan Ramadan tahun ini.

Bagaimanapun katanya, rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun seperti tertakluk dalam Perlembagaan, termasuk menghadiri Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara, semalam.

“Dia (Datuk Seri Rafizi Ramli) ada hak untuk berhimpun, memang semua rakyat ada hak itu. Difahamkan antara 150 hingga 200 orang hadir perhimpunan tersebut dan tidak berlaku apa-apa insiden yang mencemaskan ataupun mengganggu keselamatan.

“Tiada mana-mana badan atau orang yang `perfect’, saya tidak `perfect’, Perdana Menteri tidak perfect, Rafizi tidak `perfect’ begitu juga Azam Baki tidak `perfect’. Tetapi bulan Ramadan mengajar kita untuk bermuhasabah kelebihan dan kelemahan diri, jadi saya harap Rafizi juga bermuhasabah sama seperti saya juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita tentang penglibatan bekas Menteri Ekonomi itu dalam Himpunan Tangkap Azam Baki semasa ditemui di Majlis Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2026 di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut memberitahu penghargaan tetap perlu diberi kepada Azam Baki kerana telah berjaya mengambil tegas terhadap golongan perasuah dan kartel-kartel jenayah termasuk sindiket cuci wang haram dan penyeludupan dadah.

“Kita mesti beri kredit (penghargaan) di mana ia perlu,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Penerangan PKR memberitahu, parti itu belum membuat perbincangan sebarang tindakan disiplin terhadap bekas Timbalan Presiden mereka susulan beberapa kenyataan yang mengkritik kerajaan.

“Perkara ini kita serahkan kepada jawatankuasa parti, tetapi Setiausaha Agong belum ada maklumkan menerima sebarang aduan berkenaan,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, Himpunan Tangkap Azam Baki yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah SOGO di Kuala Lumpur itu berlangsung tanpa sebarang provokasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN