JOHOR BAHRU: Kementerian Komunikasi telah memanggil semua pengendali media sosial yang beroperasi di negara ini bagi memperkasa pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2025 khususnya melibatkan pengguna bawah 16 tahun.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan memaklumkan pihak terlibat dengan penguatkuasaan akta itu serta perubahan yang perlu mereka lakukan dalam waktu terdekat.
“Setelah ONSA berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, kita telah panggil semua platform media sosial agar mereka memahami instrumen yang terkait dengan akta tersebut.
“Ini termasuk mengekang anak-anak bawah 16 tahun daripada membuka dan memiliki akaun media sosial, menghalang platform media sosial mempromosi iklan judi dalam talian serta penyalahgunaan teknologi ‘deepfake’ dan kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut memberitahu, kementeriannya menjunjung titah Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang mahu kerajaan memberi perhatian terhadap keselamatan kanak-kanak dan remaja dalam talian.
“Perkara ini merupakan keutamaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Kita dapati dengan akses internet yang laju dan murah serta peranti semakin mampu milik, masyarakat termasuk kanak-kanak semakin terdedah dengan elemen jenayah dan tidak sihat di media sosial.
“Tidak dinafikan ada berlaku buli siber, jenayah ‘scam’ dan juga jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” jelasnya.
Kelmarin, Raja Zarith Sofiah dilaporkan bertitah, media sosial boleh menjadi ruang yang amat toksik dan memberi kesan buruk jangka panjang kepada generasi muda jika dibiarkan perkara negatif menular.
“Saya amat terkesan dengan kematian seorang pelajar perempuan tahun lalu yang ditikam di sekolah dan bimbang akan kesan persekitaran keselamatan di alam maya yang mengandungi pelbagai ancaman terhadap kesihatan mental masyarakat, terutamanya golongan muda.
“Justeru, perhatian serta tindakan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa dan masyarakat bagi melindungi generasi muda daripada ancaman keselamatan di ruang atas talian,” titah baginda.-UTUSAN










