TAIPING: Lebih 10 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Kaya di sini berikutan kejadian ribut yang menyebabkan pokok tumbang petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama, Mohd. Nasrul Menhat berkata, kejadian berlaku di kawasan Taman Damai dan terdapat lebih 10 keluarga yang tidak dapat memasuki kediaman masing-masing berikutan kerja-kerja pembersihan rumah tidak dapat dilaksanakan hari ini.
“Sehubungan itu saya mengisytiharkan pembukaan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Kaya mulai hari ini pada 6.30 petang.
“Kerjasama serta komitmen semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam pengoperasian PPS ini amatlah diharapkan bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa yang terjejas di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN










