PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengambil keputusan menarik diri dan sekali gus memberikan kemenangan percuma kepada Alwi Farhan dari Indonesia pada suku akhir Kejohanan Badminton Thailand Masters di Bangkok, Thailand, hari ini.
Anak jati Kedah yang kini menghuni ranking ke-79 dunia itu berbuat demikian ketika permainan hendak memasuki set ketiga selepas perlawanan menentang pemain No. 14 dunia tersebut terikat dengan keputusan 21-10, 15-21.
Penarikan diri pemain berusia 28 tahun itu, difahamkan ekoran beberapa kecederaan yang dialami ditangannya dan juga calar pada bahagian kaki.

Sejauh mana keseriusan kecederaan yang menimpa bekas bintang No. 2 dunia itu masih belum diketahui, tetapi keputusan Zii Jia menarik diri daripada suku akhir tadi, mungkin sudah cukup memberi gambaran situasinya ketika ini.
Zii Jia sebelum ini terpaksa berehat selama enam bulan berikutan kecederaan buku lali dan bahagian bawah belakang tubuhnya.
Bekas pemain perseorangan No. 1 Malaysia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris itu membuat kemunculan semula pada Terbuka Malaysia, awal bulan ini.
Dia mempamerkan kemajuan yang positif dalam kejohanan demi kejohanan yang disertainya dan Thailand Masters menyaksikan Zii Jia berjaya mara sejauh suku akhir, tetapi, perjalanannya itu terhenti pula di peringkat tersebut.
Semoga kecederaan yang dialami Zii Jia tidak serius dan dia boleh kembali beraksi dalam kejohanan akan datang. – UTUSAN










