Tentera Israel akui angka korban Gaza melebihi 70,000 orang

Tentera Israel akui angka korban Gaza melebihi 70,000 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Media Israel melaporkan sumber keselamatan kanan tentera mengakui jumlah rakyat Palestin yang terkorban dalam perang di Gaza sudah melebihi 70,000 orang.

Sebelum ini, Israel sering meragui ketepatan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan oleh Hamas.

Bagaimanapun, angka tersebut disifatkan sebagai boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta kumpulan hak asasi manusia lain, selain dipetik secara meluas oleh media antarabangsa.

Menurut kementerian itu, perang genosid Israel mengorbankan lebih 71,660 nyawa di Gaza.

Seorang sumber kanan tentera mendedahkan kepada wartawan Israel, termasuk daripada akhbar Haaretz dan The Times of Israel, jumlah keseluruhan yang diberikan oleh kementerian kesihatan tersebut secara besarnya adalah tepat.

Namun, pihak tentera masih belum dapat memperincikan pecahan antara jumlah pejuang yang terbunuh dengan orang awam yang maut akibat pertempuran.

Laporan tersebut turut menyatakan sekurang-kurangnya 492 rakyat Palestin terkorban sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober 2025, manakala empat tentera Israel turut dilaporkan maut dalam tempoh yang sama.

Sebelum gencatan senjata tahun lalu, Israel mendakwa membunuh 1,600 pejuang sejak 7 Oktober 2023, serta tambahan 22,000 lagi sepanjang tempoh peperangan.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebelum ini menganggarkan nisbah dua atau tiga orang awam terkorban bagi setiap seorang pejuang yang maut.

Susulan laporan media yang tular itu, seorang pegawai tentera tampil menyatakan butiran yang diterbitkan tersebut tidak mencerminkan data rasmi IDF.

“Sebarang penerbitan atau laporan mengenai perkara ini hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi dan teratur,” tegas pegawai IDF berkenaan bagi meredakan spekulasi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×