KUALA LUMPUR: Pendakwah, Zaharudin Muhammad didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang ketika operasi pengosongan Kampung Sungai Baru, September tahun lalu.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Pas Sungai Buloh yang juga menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapya dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan.
Mengikut pertuduhan, Zaharudin bersama tujuh lagi individu didakwa menyertai suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, iaitu menentang proses notis pengosongan dengan mengetahui bahawa perhimpunan tersebut telah diarahkan untuk bersurai mengikut kaedah undang-undang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru di sini antara pukul 10.50 pagi hingga 11.14 pagi, 11 September 2025.
Oleh itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Wirna Arifin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela, Latheefa Koya yang mewakili Zaharudin memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah dengan dengan alasan anak guamnya perlu menyara keluarga dan anak-anak.
Selepas mendengar hujahan pihak-pihak, Farah Nabihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000. Mahkamah menetapkan 24 Februari ini sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN










