UMNO tidak pernah lupakan Najib

UMNO tidak pernah lupakan Najib

NORYANA NAJIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah melupakan Datuk Seri Najib Tun Razak meskipun timbul desas-desus parti itu sudah meminggirkan bekas Presidennya berhubung Titah Adendum.

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Nooryana Najib berkata, sokongan terhadap bapanya itu masih dapat dilihat dalam kalangan perwakilan UMNO yang menilai kepemimpinan beliau berdasarkan rekod pentadbiran dan dasar yang pernah dilaksanakan semasa menerajui negara.

“Saya melihat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, agenda Bossku masih dekat di hati para perwakilan dan mereka sangat mengharapkan kepulangan Datuk Seri Najib.

“Sebenarnya apa yang saya lihat daripada para perwakilan, mereka tidak pernah melupakan Datuk Seri Najib. Mungkin kerana jasa-jasa beliau sebelum ini. Mereka sangat merindui beliau dan saya tahu mereka amat mengharapkan satu berita yang boleh memberi mereka sema­ngat baharu untuk meneruskan perjuangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau ditanya tentang pandangan UMNO terhadap Najib setelah bekas Perdana Menteri itu dipenjara berhubung kes penyelewengan SRC di sam­ping permohonan Najib untuk menjalani tahanan di rumah ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Nooryana yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri itu berkata, penerimaan terhadap Najib tidak terhad dalam kalangan ahli parti, sebaliknya turut melibatkan masyarakat khususnya di luar bandar yang masih beliau kembali menerajui kepimpinan.

“Kita semua tahu ramai rakyat Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar sangat merindui dan mengharapkan beliau (Najib) kembali.

“Ini kerana ramai berpendapat tiada Perdana Menteri yang dapat menyamai beliau mungkin disebabkan dasar-dasar yang diperkenalkan semasa kepimpinan beliau dahulu.

“Namun apa yang boleh saya katakan ketika ini, Najib amat fokus terhadap kes-kes yang dihadapinya. Beliau mahu melihat namanya dibicarakan secara adil dan masih banyak halangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Itulah fokus utama beliau buat masa ini,” katanya.

Tentang hala tuju parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Noor­yana berkata, UMNO perlu kembali kepada prinsip perjuangan parti dan memastikan setiap keputusan selari dengan kehendak dan suara akar umbi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN