KUALA LUMPUR: UMNO menerima banyak permohonan daripada bekas ahli yang berhasrat kembali menyertai parti itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, permohonan berkenaan akan diteliti mengikut keputusan dan resolusi parti selaras dengan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
“Sebagai Setiausaha Agung UMNO, saya boleh maklumkan bahawa kita memang menerima banyak permohonan. Oleh itu, kita perlu menunggu ucapan penggulungan Presiden petang ini.
“Apabila Presiden menyebut dalam ucapan dasarnya mengenai penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, perkara yang paling penting adalah apakah resolusi yang akan dicapai hasil daripada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini.
“Itu adalah salah satu resolusi. Kita memang meraikan semua pihak. Namun, saya bukan individu yang menentukan siapa yang diterima atau tidak. Jika kita fahami ucapan dasar Presiden, rumah ini sentiasa terbuka kerana semuanya berasal daripada rahim UMNO,” katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau Laman Media PAU 2025 hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, UMNO tidak menetapkan sebarang syarat atau kaedah khusus bagi kemasukan semula individu ke dalam parti menerusi penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
Katanya, penubuhan jawatankuasa akan diperincikan dari semasa ke semasa termasuk aspek penglibatan konteks masyarakat.
“Dari awal lagi kita nyatakan bahawa tidak ada syarat atau kaedah tertentu. Sebab itulah kita menunggu penjelasan lanjut daripada Presiden.
“Presiden telah menyebut mengenai penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa dan pastinya perkara itu akan diperincikan.
“Bagaimana bentuk Jawatankuasa Nasional itu, adakah ia akan melibatkan konteks masyarakat, semua itu akan dijelaskan. Kita tunggu penjelasan lanjut,” katanya.-UTUSAN










