UMNO perlu rentas kaum, bukan sekadar Melayu

UMNO perlu rentas kaum, bukan sekadar Melayu

Pimpinan tertinggi parti komponan Barisan Nasional yang turut hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak boleh hanya beretorik dengan sentimen Melayu Islam tanpa melaksanakan tanggungjawab kepada semua kaum terutama dalam aspek bantuan serta perkara berkaitan dasar.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, UMNO kini tidak boleh mengharapkan undi orang Melayu semata-mata selepas terpecah kepada empat golongan termasuk liberal dan profesional yang lebih melihat prestasi pemimpin, bukan atas sentimen ketika mengundi.

Malah katanya, UMNO perlu menjadikan segelintir pemimpin DAP yang memberikan khidmat sama rata kepada semua sebagai contoh untuk meraih sokongan pelbagai masyarakat terutama orang Melayu.

“UMNO terutama di peringkat Wilayah Persekutuan tidak boleh hanya dilihat sebagai parti sentrik Melayu semata-mata. Kita perlu ada semangat untuk bantu semua kaum. Kalau kita fikir ‘lopak’ Melayu, nanti dibimbangi’ dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran’.

GHULAM MUSZAFFAR GULAM MUSTAKIM

“Saya bimbang mungkin dalam dua, lima atau 10 tahun akan datang, orang Melayu tidak kisah wakil rakyat mereka daripada UMNO yang penting boleh beri khidmat kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Gulam Muszaffar, strategi UMNO terutama di Wilayah Persekutuan perlu berubah dalam memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

“Seandainya DAP boleh memberi khidmat lebih baik termasuk bantuan untuk pembinaan surau dan masjid, adakah awak rasa orang Melayu beranggapan mereka masih cauvanis dan rasis. Jawapannya tidak,” ujarnya.

Ketua UMNO Bahagian Kepong, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, UMNO perlu sedar dengan perubahan politik semasa yang kini turut dipengaruhi golongan muda terutama dalam PRU16 nanti.

Katanya, gerak kerja UMNO dalam meraih kemenangan perlu memberi fokus kepada gene­rasi Y dan Z yang mempunyai cara serta pendekatan berbeza.

“UMNO sebagai parti yang telah ditubuhkan sejak berpuluh tahun perlu gunakan strategi dan gerak kerja baharu walaupun parti ini masih berada di landasan tepat dalam memperjuangkan hak Melayu dan Islam.

“Namun, sudah tiba masa UMNO tidak lagi betunjang kepada satu golongan semata-mata. Perjuangan tetap dijaga akan tetapi keperluan lain tetap diambil kira,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN