Ulat teksi mampu kaut RM1,000 sehari

Ulat teksi mampu kaut RM1,000 sehari

Muhammad Kifli (duduk tengah) pada Sidang Media sempena Ops Khas Ulat JPJ Negeri Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di. - utusan/: FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan seorang ulat teksi mampu mengaut keuntungan lumayan antara RM500 hingga RM1,000 sehari dengan menawarkan khidmat kereta sewa secara haram.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, hasil lumayan itu menyebabkan kegiatan tersebut masih lagi berleluasa khususnya di lokasi tumpuan utama termasuk lapangan terbang.

Beliau berkata, pendedahan itu dibuat hasil serbuan dan operasi dijalankan pihaknya sebelum ini.

“Kalau mereka buat aktiviti ini berterusan selama 20 hari dalam sebulan, mereka dah boleh ‘cover’ untuk denda mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhammad Kifli bersama sepasukan anggota dan pegawai JPJ Selangor melakukan Operasi Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini dan berjaya menahan tiga ulat teksi warga tempatan kerana menjalankan aktiviti ulat haram di terminal berkenaan.

Muhammad Kifli berkata, bagi tempoh 2023 hingga 2025 lalu, pihaknya berjaya melaksanakan 573 tangkapan membabitkan kegiatan ‘ulat’ di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, dengan kutipan denda berjumlah lebih RM2 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025.

“Kami dapati ulat teksi ini menawarkan khidmat kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan dengan mengenakan caj penghantaran yang tinggi antara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur dan sekitarnya berbanding teksi biasa atau Limo di antara RM65 hingga RM80 sahaja,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap kegiatan ulat berkenaan termasuk melucuthak kenderaan mereka yang melakukan kesalahan berulang.

Jelasnya lagi, tahun lalu, sekitar bulan Jun, pihaknya berjaya mengambil tindakan yang pertama untuk dilucuthak di bawah Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Orang Kena Saman (OKS) juga sudah dituduh dibawah Seksyen 205 dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000.00 di bawah akta yang sama,” katanya.

Jelasnya lagi, bermula tahun ini, mana-mana kenderaan yang ditahan atas aktiviti mengulat untuk kali yang kedua dan seterusnya, akan dikenakan tindakan sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN