PETALING JAYA: Ugutan terhadap pegawai dan anggota polis termasuk ketua polis negeri bukanlah perkara baharu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun ia tidak pernah dipandang ringan.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, sebarang bentuk ancaman dilihat sebagai cabaran yang menuntut kesiapsiagaan tinggi serta komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara
“Walaupun berdepan ugutan, ia tidak mematahkan semangat anggota dan pegawai polis untuk terus melaksanakan tugas.
“Dedikasi serta integriti mereka dalam menjalankan amanah kepada masyarakat perlu kekal menjadi keutamaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menerima ugutan dipercayai daripada sindiket yang terkesan dengan ketegasan pasukannya memerangi jenayah di negeri itu.
Ugutan itu diterima pada 22 Disember lalu melalui contengan menggunakan dakwat merah pada dinding Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan di Gunong, Bachok.
Razarudin berkata, semasa berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara, beliau pernah meminta Mohd. Yusoff diiringi oleh dua atau tiga anggota memandangkan negeri itu mempunyai risiko keselamatan tersendiri.
“Ancaman boleh wujud pada bila bila masa, sama ada secara langsung atau tidak. Sebab itu kesiapsiagaan perlu sentiasa ada dalam perkhidmatan polis,” katanya.
Razarudin berkata, polis turut memerlukan sokongan risikan dan siasatan berterusan bagi mengenal pasti sebarang ancaman. – UTUSAN









