KUALA LUMPUR: TNG Digital Sdn. Bhd., pengendali TNG eWallet, dengan kerjasama strategik bersama EPOS melancarkan EPOS360 dan EPOS360 BlueTap, sebuah platform transformasi digital dikuasakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.
Penyelesaian ‘semua dalam satu’ itu diperkenalkan sebagai program mini di dalam aplikasi TNG eWallet sekali gus membolehkan PKS tempatan mengakses alat pertumbuhan AI secara terus untuk mendekati lebih 25 juta pengguna e-dompet tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, PKS merupakan nadi ekonomi Malaysia dan pihaknya komited untuk memudahkan urusan perniagaan golongan berkenaan.
“Dengan menyepadukan EPOS360 ke dalam TNG eWallet, kami menyediakan alat yang mudah dan dipercayai untuk peniaga mencapai lebih ramai pelanggan serta mengurus perniagaan dengan lebih cekap dalam ekosistem yang digunakan jutaan rakyat Malaysia setiap hari,” katanya dalam Majlis Pelancaran EPOS360 dan EPOS360 BlueTap di sini, hari ini.
Selain platform digital, kerjasama itu turut memperkenalkan EPOS360 BlueTap, peranti pintar di kaunter yang menyokong pelbagai kaedah pembayaran termasuk pengalaman ‘ketik untuk bayar’ pertama di Malaysia menggunakan TNG eWallet.
Peranti itu turut menyokong QR DuitNow dan e-dompet utama lain, selain bakal dilengkapi fungsi pembayaran kad dalam masa terdekat bagi memberikan fleksibiliti kepada peniaga dan pengguna.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EPOS, Alan Wang berkata, pendigitalan kini bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan untuk kekal kompetitif.
“Kami percaya dengan meletakkan teknologi yang tepat ke tangan PKS, mereka mampu meneroka peluang baharu. Melalui EPOS, Ant International akan mempercepatkan strategi untuk memacu pendigitalan PKS di Asia Tenggara, bermula dengan Malaysia dan seterusnya Singapura,” katanya.
Antara ciri utama EPOS360 termasuklah pengesahan pembayaran melalui audio, integrasi cerapan transaksi, serta bantuan ‘AI Copilot’ untuk membantu peniaga membina menu dalam talian dan kempen pemasaran secara automatik di pelbagai saluran termasuk Google Maps.
Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memajukan ekonomi digital negara.– UTUSAN










