Pemuda UMNO Perlis mahu pastikan SG4 jadi SG3 dengan kembali rampas Perlis - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO Perlis mahu pastikan SG4 jadi SG3 dengan kembali rampas Perlis

Ahmad Nazrin Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemuda UMNO Perlis tekad memastikan kerajaan SG4 selepas ini menjadi SG3 dengan parti itu kembali merampas Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Ahmad Nazrin Abdul Aziz berkata, untuk tiga negeri lain iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, pihaknya menyerahkan kepada rakan perjuangan yang lain untuk memastikan tidak ada lagi negeri-negeri dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN).

Katanya, selepas kira-kira tiga tahun PN mentadbir Perlis, tiada sebarang perubahan ketara yang dapat dirasai dan memberi manfaat secara jelas kepada rakyat di negeri ini.

“Jika suatu ketika dahulu, anak-anak muda di kampung aktif dengan program kemasyarakatan dan menerima pelbagai manfaat daripada inisiatif pengupayaan ekonomi luar bandar oleh kerajaan, hari ini suasana itu semakin hilang. Program semakin berkurang, sokongan semakin pudar dan harapan semakin menipis.

“Malah, krisis politik di Perlis sebelum ini juga memperlihatkan kegagalan PN mengurus dan memastikan kestabilan sebuah kerajaan negeri.

“Akibatnya, kehendak dan harapan anak-anak muda semakin terpinggir, terabai dan tidak dipedulikan,” katanya membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Ahmad Nazrin seterusnya menzahirkan keyakinan UMNO Perlis mampu bangkit merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang dan meneruskan agenda pembangunan seperti mana yang dilakukan ketika mentadbir negeri itu sebelum ini.

“Gerak kerja UMNO Perlis ketika ini berada pada landasan tepat di bawah kepimpinan Ketua Bahagian baharu yang lebih muda dan segar sekali gus dapat menggerakkan perjuangan UMNO dengan semangat baharu, pendekatan yang lebih tersusun dan hala tuju yang jelas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN