Tiga ahli ‘ Geng Captain Praba’ dituduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam

Kes tiga ahli geng ‘Kapten Praba’ dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

TIGA tertuduh yang ditahan di Mumbai, India Ahad lalu dikawal anggota polis untuk didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perbicaraan kes melibatkan tiga ahli  geng ‘Kapten Praba’ akan berlangsung di Mahkamah Tinggi, Shah Alam.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes berkenaan kerana berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tiga tertuduh terbabit ialah C. Navindren Raj, 38; S. Pratifkumar, 30 dan S. Sridharan, 30.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap ketiga-tiga tertuduh dalam bahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Mahang, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat antara Disember 2023 hingga 11 September 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim, V. Suloshani dan Lina Hanini Ismail.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh ditahan oleh pasukan keselamatan India di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA), Mumbai selepas bertindak agresif sebaik tiba di negara itu.

Mereka sebelum itu diusir dari United Kingdom (UK) selepas pihak imigresen di Lapangan Terbang Manchester menolak kemasukan, susulan maklumat mengenai status sebagai penjenayah berprofil tinggi.

Mengikut protokol antarabangsa, individu yang ditolak masuk perlu dihantar semula ke lokasi terakhir berlepas, menyebabkan mereka terkandas di Mumbai sebelum ditahan pihak berkuasa.

Siasatan mendapati tindakan agresif tersebut dipercayai didorong tekanan hebat apabila menyedari bakal berdepan tindakan undang-undang di Malaysia.

Pada September tahun lalu, seramai 13 individu dipercayai ahli kumpulan sama ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN