ALOR SETAR: Isteri kepada Allahyarham Muhammad Syazwan Mohd. Surodjidin, 25, memberitahu dia memang merasa perkara buruk berlaku setelah suaminya itu tidak membalas mesej di WhatsApp yang dihantarkannya.
Nor Hamiza Halid, 25, berkata, dia menghantar mesej pada pukul 5.10 petang untuk bertanya waktu untuk Muhammad Syazwan akan menjemputnya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Sungai Ular.
“Suami tidak balas mesej seperti selalu jadi pada pukul 5.30 petang saya telefon suami tetapi adik ipar yang angkat memberitahu tentang kemalangan itu namun saya masih tidak tahu keadaan mereka tiga beranak.
“Pada pukul 5.45 petang, kaki dan tangan saya terasa lembik bila adik ipar telefon semula memberitahu suami dan anak-anak sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Nahas yang berlaku semalam di Jalan Sungai Kob, di sini semalam itu mengorbankan Muhammad Syazwan yang bekerja sebagai operator kilang serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, yang baru berusia dua tahun.
Kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Viva dinaiki tiga beranak dari Taman Mutiara, Sungai Kob ke Sungai Ular itu bertembung Proton X70 dipercayai cuba memotong kenderaan ketika di lokasi kejadian.
Nor Hamiza berkata, ketika kejadian tiga beranak tersebut dalam perjalanan menjemputnya yang bekerja di sebuah kedai makan berhampiran.
“Setiap Isnin saya bercuti jadi suami akan menjemput saya pulang ke rumah sewa kami di Kampung Sungai Tengas bersama anak-anak yang dijaga oleh mak mentua saya ketika kami bekerja.
“Suami baru seminggu bekerja di Kulim Hi Tech, sebelum ini dia bawa lori. Dia bekerja kilang dan buat e-hailing sebab hendak kumpul duit untuk raya nanti. Kami sudah rancang hendak balik beraya di rumah keluarga mentua di Besut, Terengganu.
“Inap desa pun sudah tempah tetapi sayang sekali semua tinggal kenangan. Kemalangan ini amat menyedihkan kerana saya kehilangan mereka sekelip mata sahaja namun saya reda,” katanya.
Tambahnya, jenazah tiga beranak itu akan dikebumikan di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Mutiara Sungai Kob selepas urusan bedah siasat di HSB selesai. – UTUSAN










