KUALA LUMPUR: Tidak mustahil barisan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diketuai oleh anggota lain-lain pangkat (LLP) contohnya seorang sarjan, jika isu rasuah terus membelenggu pasukan pertahanan negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menzahirkan kekecewaan baginda terhadap skandal rasuah yang berlaku dalam ATM, termasuk membabitkan pegawai peringkat tinggi.
“Jika keadaan ini berterusan, agaknya selepas ini saya terpaksa melantik seorang sarjan untuk mengetuai,” titah Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Seri Paduka bertitah, rasuah perlu ditangani dengan lebih tegas dan berkesan terutama dalam kalangan agensi penguatkuasaan dan ahli Parlimen.
Baginda bertitah, rasuah merupakan musuh utama kepada pelbagai perkara termasuk hal melibatkan pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat.
“Tahun ini merupakan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.
“Namun, suka saya ingatkan bahawa segala perancangan tidak akan sempurna sekiranya amalan rasuah masih berleluasa. Saya pernah menyebut sebelum ini bahawa saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu rasuah dan saya telah berjaya melaksanakannya,” titah Seri Paduka. – UTUSAN










