PETALING JAYA: “Hantaran saya ini adalah pada komen mengenai Uqasha yang sangat biadab. Terlalu kasar kata-kata seperti penuh kebencian.”
Demikian kata pelakon, Aprena Manrose mempertahankan nasib sepupunya, Uqasha Senrose yang tidak henti-henti menerima kecaman selepas sah bercerai dengan aktor, Kamal Adli, semalam.
Menurut Aprena, dia turut terkesan dengan kecaman melampau yang dilemparkan kepada aktres tersebut yang kini sedang berada dititik paling terendah dalam hidupnya.
“Saya baca saya yang sedih bagi pihak keluarganya. Tiada siapa inginkan penceraian. Janganlah kita menjadi orang yang macam tahu luar dalam cerita. Kedua mereka ada khilaf masing-masing,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, pelakon Tiada Arah Jodoh Kita itu tegas menasihatkan orang ramai untuk tidak cepat menghakimi seseorang selain mengingatkan tentang balasan jika membuat salah sesama manusia.
“Kita janganlah cepat menghakimi takut berbalik pada diri. Dosa dengan Allah boleh minta ampun, dosa dengan manusia? Daripada maki, boleh saja mendoakan. Itu lebih baik,” ujarnya.
Terdahulu, perkongsian Aprena memberikan kata-kata semangat buat Uqasha di Threads menuai perhatian ramai selepas aktres itu disahkan bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Kamal di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, semalam.
“Biar bising di luar sana, tetap tenang menjadi bahasa jiwa kita, Uqasha Senrose,” tulisnya.











