Ternak babi kekal di Bukit Tagar – MB

Ladang babi: Tiada alternatif selain Bukit Tagar

Amirudin Shari (tengah) bersama pesilat-pesilat dalam Majlis Adab dan Warisan Sendeng Nusantara (ADIWIRA) 2026 di Wisma PKPS di Shah Alam. Selangor semalam. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan mengenal pasti lokasi lain bagi projek pemindahan ladang babi sekiranya terdapat keperluan mengenainya susulan bantahan terhadap cadangan tapak di Bukit Tagar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri masih berpegang kepada keputusan menutup ladang tidak terurus dan menggantikannya dengan fasiliti moden yang lebih komprehensif serta terkawal.

Menurutnya, Exco Infra­struktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim telah memberikan beberapa penerangan kenapa lokasi Bukit Tagar tersebut dipilih dan sebagainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat ini tiada (lokasi alternatif), kita akan kenal pasti dan nanti kita akan semak lokasi lain kalau ada keperluan.

“Tujuan utama kita adalah menutup ladang yang tidak terurus dan meletakkan satu sistem yang komprehensif. Kita sedia berbincang dan memberi penerangan supaya isu ini difahami berdasarkan data dan akta, bukan sentimen,” katanya selepas Majlis Adab dan Warisan Sendeng Nusantara di sini, semalam.

Mengenai kebimbangan isu pencemaran, Amirudin menjelaskan, kawasan Bukit Tagar sebelum ini adalah tapak pelupusan sampah terbuka dan projek yang dicadangkan menggunakan konsep zero discharge tanpa sebarang pelepasan sisa ke sungai.

“Berkenaan dengan masalah pencemaran sebagainya, kita lihatlah sebab itu (Bukit Tagar) adalah tempat pelupusan sampah terbuka dan kalau ikutkan, itu juga mencemarkan. Kita tidak boleh lagi biarkan operasi lama berterusan seperti sekarang, selaras dengan titah Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah),” katanya.

Kata beliau, keluasan 202 hektar yang dicadangkan, adalah merangkumi zon penampan bagi mengurangkan kesan bau, bunyi dan memastikan jarak selamat daripada kawasan awam.

“Kawasan operasi sebenar kecil. Yang 500 ekar (202 hektar) itu termasuk penampan (buffer). Manakala perincian teknologi akan diterangkan nanti. Ini disebabkan masih dalam peringkat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).

“Kita harap proses itu dapat dipercepatkan kerana kita hendak alihkan yang di sana (Ladang di Tanjung Sepat dan Sepang) kalau tidak nanti tidak teralih dan beri kesan besar pelbagai kaum,” jelasnya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan 400 penduduk dan individu dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan berhimpun di dua lokasi menyatakan bantahan pembinaan ladang babi berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini