KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menegaskan beliau tidak gentar dengan ugutan yang diterima menerusi contengan menggunakan dakwat merah pada dinding di Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan di Gunong, Bachok pada 22 Disember lalu.
Beliau tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh sindiket yang terkesan dengan ketegasannya dalam membendung jenayah di negeri ini.
“Kita berjihad buat apa nak takut. Saya tidak menolak perkara tersebut dilakukan kerana rasa tercabar dengan tindakan tegas Polis Kelantan dalam memerangi jenayah di negeri ini melibatkan sindiket along dan sebagainya.
“Berpandukan kepada tulisan pada dinding dan ayat yang digunakan, saya tidak menolak ia dilakukan oleh sindiket serta sudah dirancang lebih awal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar berbaur ugutan terhadap Mohd. Yusoff menerusi contengan di Lapang Sasar Polis Kontinjen Kelantan.
Mohd. Yusoff berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, pihaknya sedang mengenal pasti dalang di sebalik kejadian.
“Saya harap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini supaya tampil membantu pihak polis,” katanya. – UTUSAN










