Tadbir urus antara teras Dasar Industri Pertahanan Negara

Tadbir urus antara teras Dasar Industri Pertahanan Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengukuhan tadbir urus dan institusi merupakan antara empat teras Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi memperkukuh keupayaan pertahanan serta membina ekosistem industri tempatan yang berdaya saing, telus dan mampan.

Selain itu, pembangunan keupayaan teknologi tempatan, pemantapan ekosistem serta rantaian bekalan industri dan peningkatan daya saing global termasuk keupayaan eksport.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, DIPN merupakan langkah strategik bagi memastikan negara tidak lagi sekadar menjadi pembeli aset pertahanan, sebaliknya mampu membina kemandirian teknologi serta kekuatan industri sendiri.

“Kita memfokuskan pembangunan keupayaan teknologi, termasuk melalui pelaksanaan Industrial Collaboration Program (ICP) bagi memastikan pemindahan teknologi serta peningkatan kepakaran tempatan dapat direalisasikan secara berkesan.

“DIPN juga menumpukan kepada pemantapan ekosistem dan rantaian bekalan industri pertahanan, memandangkan negara membelanjakan puluhan bilion ringgit dalam sektor berkenaan.

“Namun keutamaan itu tidak akan tercapai sekiranya amalan mengejar komisen dan kepentingan kekayaan peribadi terus mengatasi kepentingan industri tempatan,” katanya dalam Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Anwar berkata, kelemahan membina kekuatan teknologi dan industri pertahanan tempatan sebelum ini menyebabkan keupayaan Malaysia ketinggalan berbanding banyak negara membangun lain, sekali gus menuntut perubahan pendekatan yang lebih tegas dan berfokus.

“DIPN memberi penekanan kepada pembangunan industri tempatan mesti didukung sepenuhnya oleh syarikat milik kerajaan, selain membuka ruang seluas-luasnya kepada syarikat tempatan lain yang menunjukkan keupayaan sebenar untuk diberikan sokongan sewajarnya,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, rangka kerja strategik seperti yang diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin bagi memperkukuhkan ekosistem pertahanan dengan pendekatan yang menuntut agar usaha tidak hanya tertumpu kepada pembelian semata-mata.

“Kita mesti membina kemandirian teknologi tempatan, memperkasa rantaian bekalan dan mengkomersialkan penyelidikan serta pembangunan (R&D). Tumpuan kita termasuk atau bermula dengan pengukuhan tadbir urus dan tatakelola yang baik.

“Kita tahu perolehan ini bukan perkara yang khusus di negara ini, saya rasa bagi yang mengikuti perkembangan industri pertahanan dan perolehannya, inilah salah satu ruang di mana amalan songlap dan sakau ini paling ganas,” katanya.

Perdana Menteri berkata, DIPN turut menjadi asas penting kepada keyakinan ekonomi negara, termasuk kepercayaan pelabur asing dan rakan dagang antarabangsa.

Beliau berkata, perdagangan negara mencatat rekod baharu mencecah RM3 trilion pada 2025, satu pencapaian disokong oleh kestabilan dan keselamatan negara hasil pengorbanan angkatan tentera, polis, agensi sempadan serta seluruh pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan dasar itu tidak akan tercapai selagi amalan lama yang merosakkan sistem perolehan pertahanan terus berlaku.

“Di sebalik kejayaan itu, angkatan bersenjata, angkatan tentera, polis, agensi sempadan serta semua yang bekerja bertungkus-lumus menjadi tunjang yang meyakinkan rakyat dan negara-negara luar, termasuk pelabur.

“Apabila negara berada dalam keadaan aman, orang menjadi senang. Bacalah sejarah, tidak ada negara yang pernah selamat tanpa kesiapsiagaan, termasuk angkatan bersenjatanya.

“Walaupun hubungan dengan jiran-jiran di ASEAN adalah baik dan dasar berbaik dengan sahabat lama serta rakan serantau terus diperkukuh, kita tidak boleh mengetepikan kemungkinan perkara yang berlaku tanpa diduga.

“Sebab itu, amalan bobrok tidak boleh lagi diteruskan. Mana mungkin kita dapat menetapkan dasar pertahanan dan perolehan persenjataan terbaik sekiranya masih terikat dengan kepentingan peribadi, komisen dan kekayaan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN