Sultan Nazrin sampaikan hadiah Tilawah, Hafazan al-Quran negeri Perak 2026 - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin sampaikan hadiah Tilawah, Hafazan al-Quran negeri Perak 2026

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan hadiah kepada Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali yang diumumkan sebagai johan qari Tilawah al-Quran peringkat negeri Perak di Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis penutup dan penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini malam ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan kepimpinan dan pentadbiran negeri.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Perak 1447H/2026M berlangsung pada 28 Januari 2026.

Pada majlis itu, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali diumumkan sebagai johan qari manakala Puteri Kalimatul Azzua Hamid sebagai johan qariah dengan masing-masing meraih hadiah wang tunai RM12,000, hadiah iringan pakej umrah RM10,000 dan plak.

Dalam kategori sama, naib johan qari dimenangi Mohd Kamaruzaman Daud dan Mohamad Sahran Termizi di tempat ketiga, manakala naib johan qariah dimenangi Nurul Syafiqah Nardi dan di tempat ketiga, Siti Syahirah Isa.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai RM9,000 dan RM7,000 berserta plak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, acara saringan Tilawah Al-Quran telah diadakan pada 18 Januari 2026, dengan penyertaan 12 orang peserta.

“Daripada jumlah tersebut, empat orang Qari dan tiga orang Qariah telah terpilih ke peringkat negeri dengan diadili oleh 12 orang hakim yang dilantik dengan kepakaran masing-masing di peringkat antarabangsa, juga di peringkat negeri bagi menilai aspek-aspek yang merangkumi tarannum, tajwid, fasohah dan suara,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.

Muhammad Farish Ossman memenangi Kategori 1-10 juzuk lelaki, Muhammad Firdaus Muhd Danial menang Kategori 1-20 juzuk lelaki dan Muhammad Ammar Daniel Ahmad Sukry memenangi Kategori 1-30 juzuk lelaki.

Sementara itu, Siti Nursyifaa Shahrizal menang Kategori 1-10 juzuk wanita, Nur Nabila Syafiqah Mus Irwan memenangi Kategori 1-20 juzuk wanita manakala Siti Sarah Muhammad Hanif memenangi Kategori 1-30 juzuk wanita.

Pemenang Kategori 1-30 juzuk lelaki dan wanita masing-masing meraih hadiah wang tunai RM12,000, hadiah iringan pakej umrah RM10,000 dan plak.

Harith Fadzilah berkata, johan Hafiz dan Hafizah bagi setiap tahap serta Johan Qari dan Qariah akan mewakili negeri Perak ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 13 hingga 18 April 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN