KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihak berkuasa United Kingdom (UK) telah menjalankan siasatan berkait kes dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion melibatkan IJM Corporation.
Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata, maklumat tersebut diperoleh dari pihak beratoriti iaitu Serious Fraud Office United.
Katanya, SPRM sudah menerima permohonan yang dihantar oleh pihak berkuasa UK untuk menjalankan siasatan.
“Kami (SPRM) akan membantu pihak berkuasa berkenaan dalam melengkapkan proses tersebut sebagai sebuah agensi dalam negara akan menjalankan tanggungjawab menyiasat rasuah, salah guna kuasa dan jenayah kewangan,” katanya kepada pemberita selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media, di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, SPRM membekukan 55 akaun bank persendirian dan syarikat bernilai RM15.8 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap IJM Corporation berhubung dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.
Sumber berkata, siasatan menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Katanya, setakat ini pasukan penyiasat telah membuat pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan berlainan iaitu kediaman dan pejabat salah seorang pengurusan tertinggi IJM Corporation.-UTUSAN










