AKPS kesan dalang penyeludup daging babi

AKPS kesan dalang penyeludup daging babi

Daging babi
MOHD. Shuhaily Mohd. Zain menunjukkan daging anak babi beku yang dirampas dalam sebuah kontena dipercayai dari Sepanyol apabila cuba diseludup masuk ke negara ini dekat Pelabuhan Barat, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sumber sebenar bekalan daging anak babi atau suckling pig disiasat bagi mengenal pasti pihak yang membawa masuk bahan makanan bagi masyarakat bukan Islam itu berikutan ia dipercayai diimport dari 14 negara dikenakan larangan.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kemasukan daging itu lazim berlaku setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, bagaimanapun ia dilarang diimport dari 14 negara berikutan kebimbangan terhadap keselamatan makanan serta pematuhan undang-undang import bagi mengekang penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

“Saya ingin mengingatkan masyarakat Cina bahawa suckling pig yang dinikmati mungkin diimport daripada 14 buah negara yang kini dikenakan larangan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Namun, kehadirannya agak biasa apabila sambutan Tahun Baharu Cina diraikan. Dari mana sebenarnya sumbernya, kita sedang cuba rungkaikan. Sekiranya berjaya dikenal pasti, saya akan maklumkan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Terdahulu, beliau memberitahu AKPS menyekat kemasukan daging babi itu apabila hampir 50 tan metrik bahan itu bernilai RM660,137.85 dirampas apabila ia dikesan di dalam sebuah kontena dari Sepanyol.

Mohd. Shuhaily berkata, hasil pemeriksaan mendapati ia diimport oleh syarikat tempatan yang permitnya juga sudah pun tamat tempoh.

“Kita mengesannya melalui dokumentasi apabila kesemua produk seberat 49,972.74 kilogram itu diisytiharkan sebagai produk sejuk beku namun permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis). Kontena itu (pula) berasal dari Sepanyol iaitu antara 14 negara yang dilarang pengimportannya.

“Kemungkinan pengimportan itu bagi memenuhi pasaran tempatan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. Kita akan mengambil tindakan juga terhadap syarikat pengimport itu,” jelasnya.

Beliau menambah, kejayaan itu merupakan kedua selepas rampasan dua tan karkas babi menggunakan sebuah pikap menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN