Sindiket Iqbal guna 'jalan tikus' di Kelantan, sebelum bawa migran ke safe house di KL

Sindiket Iqbal guna ‘jalan tikus’ di Kelantan, sebelum bawa migran ke safe house di KL

ANTARA warga asing ditahan JIM dalam operasi sindiket Iqbal di Taman Maluri, Kuala Lumpur. - GAMBAR JIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rangkaian penyeludupan migran dikenali sebagai Sindiket Iqbal berjaya dibongkar selepas menahan tujuh warganegara Bangladesh dalam satu operasi di sebuah pangsapuri servis di Taman Maluri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, premis itu dikenal pasti dijadikan sebagai ‘safe house’ sementara bagi migran yang baru tiba dari Pantai Timur sebelum dihantar ke destinasi seterusnya.

Katanya, ia dipercayai dibawa selepas melalui sempadan Malaysia-Thailand secara tidak sah.

“Hasil risikan mendapati kegiatan penyeludupan migran itu melibatkan warganegara Bangladesh yang memasuki negara ini secara haram melalui laluan tidak sah atau jalan tikus di negeri Kelantan, sebelum dibawa ke lokasi penampungan sementara di sekitar Lembah Klang.

“Sindiket Iqbal sebelum ini telah berjaya ditumpaskan di Kelantan dan modus operandi sindiket ini adalah menyeludup migran melalui laluan darat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria, operasi itu membawa kepada penahanan lima lelaki berusia antara 27 hingga 44 tahun yang dipercayai migran yang diseludup.

Katanya, ini termasuk dua lagi lelaki berusia 56 dan 28 tahun yang masing-masing disyaki berperanan sebagai pengatur atau penjaga rumah penampungan (safe house) serta penghantar bagi rangkaian sindiket berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua migran terbabit tidak memiliki cap pengesahan masuk yang sah ke Malaysia, manakala sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dipercayai digunakan untuk pengangkutan migran turut disita.

“Kesemua tahanan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] serta Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155],” katanya.

Zakaria berkata, operasi itu turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN