Sifat pemaaf Zahid disamakan dengan Hang Jebat

Sifat pemaaf Zahid disamakan dengan Hang Jebat

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sifat pemaaf Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disamakan dengan watak legenda Melayu, Hang Jebat oleh seorang perwakilan UMNO Kedah.

Timbalan Ketua UMNO Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin berkata, keperibadian itu terserlah menerusi kesediaan Ahmad Zahid menerima semula bekas pemimpin UMNO untuk kembali bersatu di bawah parti, meskipun pernah berlaku pertelingkahan sebelum ini.

Katanya, keadaan tersebut mengingatkan kepada kisah Hang Jebat yang masih mampu memaafkan sahabat karibnya, Hang Tuah, walaupun dalam keadaan nazak selepas ditikam.

“Jika diperhatikan dengan teliti, perkara ini jelas dapat dilihat melalui tindakan presiden kita.

“Walau seteruk mana pun perselisihan dengan beliau, pintu UMNO tetap dibuka,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa UMNO akan membuka pintu kepada bekas pemimpin yang lahir dan dibesarkan di bawah bumbung parti.

Beliau berkata, daripada rumah inilah kemerdekaan negara dicapai, Perlembagaan digubal, Islam dimartabatkan sebagai tunjang negara serta institusi Raja-raja Melayu dipertahankan.

Tambah beliau, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menerima kemasukan atau kemasukan semula mana-mana pihak ke dalam parti, sama ada secara individu atau secara berkelompok (en bloc). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN