Semua aktiviti MRO perlu dilakukan syarikat tempatan

Semua aktiviti MRO perlu dilakukan syarikat tempatan

MOHAMED Khaled Nordin ketika menyampaikan ucapan di Majlis Peluncuran DIPN di MITEC di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset pertahanan perlu dilaksanakan oleh syarikat tempatan yang merupakan antara perubahan signifikan kepada dasar perolehan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk membina industri pertahanan negara yang berdikari di bawah Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang baharu dilancarkan.

“Antara pembaharuan utama, penetapan kandungan tempatan minimum 30 peratus bagi setiap perolehan pertahanan, selain penegasan bahawa semua aktiviti MRO perlu dilaksanakan oleh syarikat tempatan, kecuali dalam tempoh jaminan yang hanya boleh dikendalikan oleh pengeluar peralatan asal (OEM). Setakat ini masih ada 15 MRO dikendalikan oleh syarikat luar.

“Pada masa yang sama, setiap syarikat tempatan yang terlibat dalam aktiviti MRO hendaklah menunjukkan inovasi dan penambahbaikan yang dapat meningkatkan peratusan kandungan tempatan serta mengurangkan kos,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, syarikat tempatan yang gagal mematuhi kriteria tersebut akan dihentikan kontrak MRO mereka.

“Ini kerana matlamat kita adalah untuk mengutamakan kepentingan negara. Kita akan membuka semula tender, bagi memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan yang benar-benar mampu berinovasi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Portal Industri Pertahanan yang dilancarkan akan merangkumi tiga perkhidmatan utama dalam industri pertahanan negara.

Jelasnya, antara perkhidmatan itu adalah permohonan permit edaran antarabangsa (ICP) oleh syarikat-syarikat yang memerlukan teknologi untuk memantapkan produk mereka.

Selain itu, katanya, syarikat tempatan yang ingin melakukan inovasi juga boleh melakukan permohonan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di portal tersebut.

“Ketiga, penawaran teknologi oleh syarikat turut boleh digunakan dalam sektor pertahanan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bukan berhasrat untuk mengeluarkan senjata atau alat-alat pertahanan seperti kapal terbang sendiri dalam sekelip mata.

“Tetapi kita ingin bermula dengan membangunkan komponen dan perkhidmatan sendiri, agar syarikat-syarikat tempatan mampu menyertai rantaian bekalan sektor pertahanan secara signifikan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×