PETALING JAYA: Status terkini pelakon Ben Amir akhirnya terjawab apabila aktor itu mengesahkan telah sah diijabkabulkan bersama wanita pilihannya yang berasal dari Filipina, Liana Alara.
Menurut Ben atau Muhammad Amir Sabaruddin, 35, majlis akad nikah mereka telah berlangsung pada Disember lalu.
Berita gembira itu diumumkan Ben menerusi hantaran di media sosial yang memaparkan beberapa keping foto bersama isteri tercinta mengenakan busana serba putih berlatarbelakangkan Masjid Wilayah Persekutuan.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah, kami telah disatukan pada Disember 2025.
“Dengan rendah hati, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas segala doa dan ucapan baik daripada semua,” tulisnya ringkas tanpa berkongsi butiran lanjut mengenai pernikahan tersebut.
Bagaimanapun, konsep perkahwinan serta busana nikah dan pra-perkahwinan pelakon drama Gantung itu menjadi bualan ramai apabila rata-rata memuji rekaan yang disifatkan elegan, beridentiti meskipun menampilkan sentuhan tradisional.
Berdasarkan foto yang dikongsikan, kedua-duanya memilih busana berwarna putih dengan rekaan minimalis dan sopan. Liana turut dilihat menggayakan aksesori berwarna biru gelap yang sepadan dengan jambangan bunga di tangan.
”Selalunya tengok Ben kahwin dalan drama sahaja, tak sangka ini betu-betul. Cantik betul baju,” tulis satu peminat.
”Tahniah kedua mempelai, gambar semua cantik-cantik. Baju kahwin pun sama, gabungan tradisional dan moden,” puji satu komen.
”Ada sesiapa tahu dekat mana saya boleh cari orang yang boleh ambil gambar sebiji ‘vibes’ gambar Ben?,” tanya seorang peminat.
Sebelum ini, pada November tahun lalu, Ben pernah memuat naik foto di Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur yang seolah-olah memberi bayangan bahawa kekasihnya telah memeluk agama Islam. – UTUSAN










