WARGA Sekolah Tengku Budriah (STB) di Arau, Perlis tidak pernah mengeluh sebaliknya terus kuat untuk bangkit semula selepas sekolah berkenaan terkesan sehingga 90 peratus ekoran banjir besar melanda negeri ini, penghujung November lalu.

Banjir besar melanda negeri ini yang disifatkan terburuk sejak tempoh 15 tahun itu menyaksikan STB tenggelam sehingga paras dada dan menjadi antara sekolah di Perlis paling teruk terjejas dengan kebanyakan barangan musnah.
Antara kesan kemusnahan ekoran banjir besar tersebut seperti bilik darjah, bilik muzik, pusat komputer, bilik guru, kantin selain peralatan seperti buku latihan murid, rak buku, meja tulis serta pelbagai lagi kelengkapan lain.

Pasca banjir tersebut, menyaksikan warga sekolah dengan kerjasama pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Pendidikan negeri membantu membersihkan sekolah yang memakan masa lebih sebulan.
Beberapa hari sebelum pembukaan sesi baharu persekolahan baru-baru ini, warga sekolah, ibu bapa dan murid-murid mengambil inisiatif bersama-sama bergotong-royong bagi melakukan persiapan terakhir seterusnya memberi keselesaan kepada murid-murid belajar.
Murid-murid bersama guru di setiap kelas masing-masing bergotong-royong menyusun kerusi meja serta menghias dan mengemas kembali bilik darjah bagi memberi keselesaan.
Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim berkata, seluruh warga sekolah dan ibu bapa bersama hadir bagi sesi gotong-royong tersebut dan melakukan persiapan pembukaan sekolah.
Katanya, pasca banjir sebelum ini, guru, ibu bapa dengan kerjasama banyak pihak lain turut sama membantu membersihkan sekolah.
“Banjir besar baru-baru ini menyaksikan lebih 90 peratus kemusnahan. Namun sekolah bangkit semula dengan penambahbaikan dan menyediakan keselesaan di sekolah termasuk mengecat semula kelas serta membaik pulih semula kantin yang kelihatan kembali cantik.
“STB antara sekolah yang paling teruk terjejas ekoran banjir besar tersebut. Semua pihak memainkan peranan dalam menyambut kemasukan murid bagi sesi baharu persekolahan ini,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Untuk sesi tahun ini, sebanyak 157 murid tahun satu mendaftar di STB dengan keseluruhan murid sekolah tersebut pula seramai 1,007.
Nor Zaitun memberitahu, dalam tempoh banjir dan pasca bencana tersebut, murid-murid sekolah itu menjalani kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Kehadiran murid-murid membantu gotong-royong memandangkan sekolah sebelum ini ditutup lebih awal dan murid-murid menjalani PdPR.
Murid-murid dan guru masing-masing membersih serta menghias kelas yang kelihatan sangat cantik,” katanya.

Katanya, banyak pihak khususnya sekolah-sekolah lain turut membantu menyumbang kerusi dan meja untuk digunakan terlebih dahulu sementara menanti peralatan baharu yang akan disampaikan oleh kementerian selepas ini.
“Sekolah ini, sudah tiga kali terjejas dengan banjir besar iaitu pada tahun 2005, 2010 dan banjir baru-baru ini yang agak luar biasa.
Ketika banjir teruk di Arau sebelum ini, air naik sehingga paras dada dan sekolah tenggelam selama dua hari,” katanya.
Sementara itu, seorang murid tahun empat, Muhammad Iman Aqil berkata, dia bersama ibu datang menyertai gotong-royong tersebut bagi membersihkan sekolah khususnya di bilik darjah.
“Sebelum ini, kami belajar PdPR selepas sekolah ditutup lebih awal ekoran banjir besar tersebut. Sudah tidak sabar untuk kembali ke sekolah dan bertemu rakan-rakan dan guru.
“Keadaan di kelas juga cantik dan selesa untuk kami meneruskan sesi pembelajaran selepas ini. Selain itu, kantin yang terjejas teruk juga kembali cantik selepas dibaik pulih,” katanya. –UTUSAN










