PUTRAJAYA: Universiti Awam (UA) di negara ini telah pun melaksanakan pembelajaran berasaskan hasil terutama melengkapkan kemahiran digital termasuk kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada agenda Transformasi Pendidikan Tinggi.
Dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, sejumlah 72 peratus atau 860 daripada program akademik Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan di UA telah mengintegrasikan sekurang-kurangnya satu kursus berkaitan teknologi AI.
Katanya, ia antara pencapaian KPT pada tahun lalu dalam usaha menyediakan graduan dalam menghadapi cabaran digitalisasi semasa, inovatif, dan berdaya saing seterusnya memberi peluang kebolehpasaran graduan.
Pada masa sama, kursus-kursus di politeknik telah menghasilkan 227 bahan dan platform pembelajaran digital berteraskan imersif dan AI sebagai asas ekosistem AI-imersif untuk latihan graduan.
“Langkah ini sekali gus membentuk pelajar yang bersedia dengan adaptasi teknologi dan membolehkan integrasi nilai etika dan kemanusiaan dalam adaptasi AI,” katanya semalam.
Dalam pada itu, KPT berkata, sejumlah 34 kursus asas keusahawanan di UA turut diintegrasikan elemen AI, manakala di politeknik, sebanyak 50 projek keusahawanan yang memberi respon kepada masalah komuniti seterusnya menjadikannya peluang perniagaan.
Bagi pemerkasaan industy on campus (IoC) iaitu kerjasama antara pihak indsutri dan universiti, sejumlah 342 Geran Industri diperoleh di UA antaranya Universiti Malaya (UM) bersama Samsung Electronics Co., Ltd. (Samsung Technology Track) dengan jumlah geran sebanyak RM3,500,000.
Selain itu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Petronas Research Sdn Bhd (PRSB) diperoleh bagi projek Optimal Energy Prediction System Simulator for Compressors Network In Oil And Gas Facilities dengan peruntukan sebanyak RM288,750.
“Sebanyak 86 projek IoC dilaksanakan oleh 36 politeknik dalam sinergi antara industri dengan pihak universiti,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Suriyani Muhamad berkata, universiti di Malaysia tidak lagi beroperasi dengan model lama yang meletakkan kebolehpasaran graduan adalah tanggungjawab bersama antara universiti, industri, dan kerajaan.
Dalam konteks ini, katanya, universiti memainkan peranan penting melalui pelaksanaan pengukuhan latihan industri dan pembelajaran bersepadu kerja, peluasan kolaborasi universiti–industri dan penekanan terhadap kemahiran insaniah, kebolehkerjaan, dan kemahiran digital termasuk AI.
“Usaha ini sejajar dengan dasar KPT, yang mengiktiraf bahawa universiti bukan hanya mengeluarkan graduan dengan penekanan kepada pengajaran teori semata-mata, tetapi institusi strategik dalam membangunkan modal insan yang dapat beradaptasi dengan perubahan ekonomi dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memainkan peranan kritikal melalui dasar perindustrian, digitalisasi, dan ekonomi hijau dalam mencipta permintaan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Katanya, tanpa peluasan sektor ekonomi bernilai tambah tinggi, sistem pendidikan tinggi tidak dapat mencapai impak optimum, walaupun reformasi kurikulum dilaksanakan secara menyeluruh.
Selain itu, kata beliau, universiti juga mempunyai peranan strategik dalam menyediakan graduan yang mana graduan perlu memahami struktur gaji, laluan kerjaya, mobiliti sektor, dan keperluan teknologi, termasuk AI.
Katanya, universiti bukan ‘kilang ijazah’ bahkan merupakan ekosistem pembentukan keupayaan: pemikiran kritis, adaptasi teknologi, literasi data, komunikasi, dan keupayaan pembelajaran sepanjang hayat, namun keupayaan ini hanya bernilai jika wujud ekosistem ekonomi yang menyerapnya
“Isu kebolehpasaran graduan tidak boleh ditangani melalui pendekatan sempit atau menyalahkan universiti semata-mata.
“Ia memerlukan ekosistem yang bersinergi, melibatkan reformasi universiti untuk meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran, literasi AI, pembangunan industri dan penciptaan pekerjaan bernilai tambah tinggi oleh kerajaan.
“Ini termasuk kesedaran graduan terhadap realiti pasaran kerja dan keperluan teknologi masa depan,” katanya. – UTUSAN










