PETALING JAYA: Pelakon, Ezzanie Jasny memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, baru-baru ini.
Ezzanie atau Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 26, berkata, dia kini berada dalam keadaan stabil walaupun masih mengalami sedikit bengkak di bahagian kepala dan kaki.
“Alhamdulillah, saya makin okay. Cuma bengkak di bahagian kepala dan kaki sahaja yang masih ada. Selain itu, saya sudah sihat,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Sebelum ini, pelakon drama Impiana: Karma! itu mengejutkan peminat apabila berkongsi berita terlibat dalam kemalangan jalan raya yang turut membabitkan ahli keluarganya.
Kemalangan yang berlaku pada Ahad lalu menyebabkan Ezzanie mengalami kecederaan di bahagian tengkorak selain lebam pada wajah.
Mengimbau detik cemas tersebut, Ezzanie berkata, ketika kejadian dia berada di tempat duduk belakang pemandu dan tidak menyedari punca sebenar hentakan kuat yang dialaminya sehingga terpaksa ditempatkan di zon merah hospital.
“Saya sendiri tidak pasti sama ada kepala saya terhantuk pada tingkap sebelah kanan atau terhantuk pada tali pinggang keledar. Disebabkan hentakan kuat itu, saya menerima rawatan rapi sepanjang malam di hospital.
“Alhamdulillah, kini saya sudah sedar sepenuhnya, boleh berjalan dan kaki juga berfungsi dengan baik walaupun masih terdapat kesan pendarahan di kepala serta bengkak di muka,” kongsinya sebelum ini.
Susulan insiden tersebut, Ezzanie terpaksa menangguhkan perancangannya untuk bercuti ke London yang dijadualkan dalam masa terdekat bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan sepenuhnya. – UTUSAN










