MULA mencuri perhatian dengan filem genre aksi, pelakon, Trisha Ooi meluaskan portfolio lakonannya dengan terjun ke dalam naskhah bersiri komitmen tinggi dengan perahan air mata dalam Senyawa dan Tentang Hati Dia.
Tidak berhenti di situ, Trisha nampaknya meluaskan julat lakonan dengan menjayakan karakter antagonis yang membuat amarah satu negara menerusi lakonannya sebagai Bella dalam drama popular, Jika Cinta Itu Buta. Dengan menjadi Bella, Trisha disumpah seranah bahkan ada penonton yang ingin mencili mulutnya kerana dialog yang sangat biadab.
Bagaimanapun, Trisha atau Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 26, mengakui Bella adakah karakter yang paling sukar untuk dilakonkan kerana bertentangan dengan peribadi sehariannya. Malah, gadis itu turut mendedahkan sempat mengalami fasa jiwa terganggu akibat tertekan melakonkan watak terlampau jahat.
“Memang ada kesan sampingan membawakan karakter Bella dan memberi tekanan dalam kehidupan harian saya. Masa cuti seminggu lepas habis penggambaran dan sebelum masuk set baru, saya masih rasa stress.
“Tapi tidaklah sampai tahap depresi, cuma saya ini asalnya memang seorang ceria tiba-tiba jadi tertekan. Dengan membawa watak Bella, saya jadi sikit-sikit nak marah, susah nak gelak, banyak termenung dan sedih.
“Kadang benda kecil sahaja tak dapat makan burger, jadi sangat sedih. Jadi, saya pulang jumpa ibu, berbual, luahkan semua. Saya juga sempat pergi bercuti,” katanya.
Mengulas mengenai adegan yang paling mencabar, Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia ke-33, mengakui sangat sukar untuk menjayakan babak seorang anak derhaka.
“Saya sendiri takut dengan karakter itu, awal-awal buat babak derhaka dengan emak itu paling susah sekali. Tapi dengan bantuan Zarina Zainuddin yang sangat profesional, kami berlatih beberapa kali untuk cari tuning membuatkan semuanya dilakukan dengan lancar,” katanya yang lega kerana lakonannya diterima banyak orang.
Persiapan wakili Malaysia
Dalam perkembangan lain, Trisha sempat memberikan petanda bakal beraksi di sebuah pertandingan seni bela diri antarabangsa tahun hadapan. Belum mahu mendedahkan secara terperinci pertandingan tersebut, namun Trisha semakin aktif melakukan persediaan termasuklah menjaga pemakanan, menurunkan berat badan untuk lebih cergas.
“Pertandingan ini memerlukan berat badan tertentu. Jadi sekarang saya tengah cuba turunkan berat badan untuk lebih fit risau juga akan pancit semasa pertandingan. Ini kali pertama saya sertai pertandingan seperti ini sebab sebelum ini orang kenal saya sebagai pelakon aksi. Saya mahu tunjukkan sisi berbeza.
Berkongsi mengenai rutin harian, Trisha sibuk melakukan kardio setiap hari dan mengawal berat badan.
“Saya memang kurangkan pengambilan gula dan karbohidrat sebanyak mungkin. Pada masa sama saya bina otot jadi berat susah sikit nak kawal.
“Selalunya lepas Subuh saya akan terus berlari dalam 30 minit diikuti latihan angkat beban (weight training) untuk bakar lemak. Kalau ada penggambaran, saya akan pergi shooting. Balik shooting baru Trisha berlatih martial arts.
“Begitulah rutin hampir setiap hari. Sekarang dah masuk minggu kedua saya berlatih untuk pertandingan yang bakal diadakan pertengahan tahun hadapan,” ujarnya.-UTUSAN










