GEORGE TOWN : Seorang pegawai Penjara Pulau Pinang yang berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan mencederakan pegawai atasannya, tahun lepas.
Ahmad Suhaizad Mohd. Mansoor, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan ke atas Megat Razman Md. Nor dengan menampar menggunakan tangan di tengkuk di kantin Penjara Pulau Pinang kira-kira pukul 7.55 pagi pada 1 Jun 2025.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin.
Ketika prosiding, Lau Shavin menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun, Nur Adilla memohon supaya wang jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM4,000 sebulan dan perlu menanggung isteri, tiga orang anak serta kedua-dua ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain melarang lelaki tersebut mendekati mangsa dalam jarak 500 meter sepanjang kes tersebut berlangsung.
Kes ditangguhkan sehingga 3 Mac depan bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam.-UTUSAN










