RPN 2026-2035 tidak pinggir pendidikan khas

RPN 2026-2035 tidak pinggir pendidikan khas

FADHLINA Sidek ketika sesi dialog bersama ibu bapa dan guru yang hadir ke Program PAKAT Prasekolah Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Farabi JPN Kedah di Alor Setar, Kedah hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 turut mengambil kira murid berkeperluan khas yang jumlah kemasukan mereka ke sekolah meningkat setiap tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, rancangan itu memberi penekanan khusus bagi memastikan pendidikan khas terus diperkukuh dan tidak tercicir daripada arus pembangunan sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, kurikulum baharu yang dirangka akan turut menyokong keperluan murid berkeperluan khas menerusi pendekatan baharu yang lebih inklusif dan menyeluruh.

“Kita lihat trend setiap tahun, peningkatan 20 peratus kemasukan anak-anak keperluan pendidikan khas ni. Jadi kita lihat ada keperluan yang sangat mendesak untuk kita membuat perluasan itu. 

“Sebab itu kurikulum ini pun tidak ketinggalan mereka ini. Kurikulum baharu pun mereka akan ikut termasuk dengan tambahan mengikut kurikulum pendidikan khas sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program PAKAT Prasekolah Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Farabi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, di sini hari ini.

Tambah Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan kepada penyelesaian empat komponen utama di kelas pendidikan khas, termasuk penambahan guru terlatih serta pembantu murid bagi memastikan sokongan optimum.

Sementara itu, beliau berkata, sebuah sekolah sukan pendidikan khas dijangka siap tahun ini, yang akan menjadi platform penting bagi mencungkil potensi dan bakat murid berkeperluan khas dalam bidang sukan.

Sekolah itu sedang dibangunkan di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan itu sebagai antara komitmen KPM untuk memastikan sukan dibudayakan dan seiring dengan perkembangan semasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, program PAKAT membuka ruang perkongsian bermakna bersama ibu bapa dan penjaga anak-anak yang melangkah ke alam prasekolah bermula Januari tahun ini.

“Saya ambil kesempatan dalam sesi PAKAT ini untuk menerangkan tentang kurikulum baharu untuk prasekolah 2026 yang telah pun dilaksanakan di seluruh prasekolah KPM pada tahun ini.

“Ini pendekatan KPM untuk memastikan bahawa semua lapisan masyarakat menyokong agenda kita dengan memberi penerangan-penerangan dan jawapan kepada setiap persoalan yang dibangkitkan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN